BIARPUN baru berusia 18 tahun, gadis Pesona Ahad pada minggu ini tampak matang. Usia muda bukan penghalang buat Nor Batrisya Nor Hasnal melakukan pelbagai kerja seperti menjual kek dan manisan, ejen hartanah dan peragaan pakaian.
Gadis yang mesra disapa Isya ini juga pernah bergelar pelakon seawal usia 14 tahun.
Terbaharu, Isya menyertai sebuah portal digital sebagai pengacara segmen bual bicara.
Kepada wartawan Kosmo! Ahad, anak kelima daripada lapan beradik ini bercerita mengenai impian dan kisah hidupnya.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan mengenai diri Isya?
Isya: Saya mempunyai keluarga besar iaitu lapan adik-beradik dan merupakan anak perempuan tunggal. Semasa berusia 14 tahun, saya sudah mula berlakon dan dari situ mengorak langkah menceburi bidang peragaan. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya mencari kerja kerana sudah membuat keputusan untuk tidak menyambung belajar. Baru-baru ini saya mendapat peluang menjadi pengacara di sebuah portal digital.
Selain mengacara, apa pekerjaan lain yang Isya lakukan?
Saya menjual kek dan manisan, memperaga pakaian dan produk kosmetik, peragaan dalam air (underwater model). Kerja-kerja ini tidak ‘hadir’ serentak.
Apakah cabaran sebagai seorang pengacara?
Setiap apa yang kita lakukan pasti ada cabaran, namun antara cabaran paling besar dihadapi ketika ini adalah kurangnya pengalaman. Saya kerap ditolak dengan alasan tiada pengalaman sehingga menyebabkan hampir putus asa. Disebabkan usia masih muda, tidak ramai yang mahu memberikan kepercayaan, namun sokongan keluarga terus membuatkan saya cekal.
Apakah perkara yang orang tidak tahu mengenai Isya?
Saya suka bercakap seorang diri lebih-lebih lagi ketika stres. Lega bila dapat meluahkan, namun kerana bagi saya, tidak semua benda perlu dikongsi.
Pengalaman pahit sepanjang usia 18 tahun?
Pada usia 14 tahun, saya pernah menipu mengenai usia semasa menghadiri uji bakat drama dan berjaya mendapat watak gadis pelayan (GRO), saya kemudian dihalau dan dimarahi pihak produksi kerana menjadi kesalahan watak itu dipegang oleh remaja bawah umur. Saya kesal kerana tidak berfikir panjang.
Beberapa negeri dilanda bah, pendapat Isya mengenai kesepakatan rakyat Malaysia dalam membantu mereka yang memerlukan?
Saya berasa terharu melihat semangat rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa turun padang ke lokasi bencana. Bagi yang tidak dapat membantu di lokasi, mereka menghulurkan sumbangan duit dan barangan keperluan. Saya pula mengambil inisiatif berkongsi kisah-kisah mangsa banjir supaya pengikut di media sosial mendapat maklumat yang terkini dan sahih. -K! ONLINE