KUALA LANGAT – Kelicikan Geng Amy Sandora yang aktif melakukan 11 kes pecah kedai dan pasar raya sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu akhirnya kecundang selepas diberkas, baru-baru ini.
Penahanan tiga suspek termasuk ketua kumpulan itu yang kesemua berusia 26 hingga 40 tahun dilakukan dalam tempoh 24 jam bermula Khamis lalu di sekitar Kampung Sri Jangkang, Telok Panglima
Garang di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, penangkapan mereka susulan laporan daripada seorang pengurus sebuah pasar raya di Telok Panglima Garang apabila premis itu dipecah masuk tiga penjenayah kira-kira pukul 7 pagi, Khamis lalu.
Katanya, kejadian itu mengakibatkan wang tunai berjumlah RM15,000 di dalam peti besi lesap selain wang tabung masjid dan dua Unit Pemprosesan Pusat (CPU) sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan seorang suspek di sebuah rumah di Kampung Sri Jangkang pukul 10.45 malam hari sama.
“Hasil soal siasat kemudian memberkas dua lagi suspek lain di sekitar kampung berkenaan antara pukul 12.20 tengah malam hingga 2.30 pagi kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Ridwan memberitahu, pihaknya turut menemui semula barangan milik pengadu termasuk hasil kegiatan pecah rumah dijalankan kumpulan itu.
Tambah beliau, berdasarkan siasatan mendapati geng Amy Sandora itu aktif melakukan jenayah sejak dua bulan lalu.
“Kita percaya berjaya menyelesaikan 11 kes pecah rumah di sekitar daerah ini terutama kawasan Telok Panglima Garang.
“Antara kes dilakukan geng berkenaan adalah pecah kedai butik, pasar raya, kedai runcit dan kedai perkakasan (hardware),” tegasnya.
Jelasnya, kesemua suspek memiliki rekod jenayah termasuk seorang daripadanya yang mempunyai 10 kes lampau.
“Mereka kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE