fbpx

Cuaca panas, jangan bakar sampah di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal belum berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.

SEBERANG PERAI – Jabatan Alam sekitar (JAS) Pulau Pinang mengingatkan orang ramai di negeri ini agar tidak melakukan pembakaran terbuka ketika ini berikutan keadaan cuaca panas tanpa hujan.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya mengesan beberapa aktiviti pembakaran terbuka biarpun negeri ini sedang berdepan kejadian kebakaran besar di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini sejak lebih seminggu lalu.

“Walaupun, ramai yang menyatakan kerisauan tentang kualiti udara yang dikatakan merosot akibat insiden kebakaran itu, namun aktiviti pembakaran terbuka masih dikesan menerusi aduan dan rondaan JAS Pulau Pinang.

“Malah, beberapa aduan turut diterima berkaitan pembakaran terbuka yang dilakukan tidak jauh dari lokasi tapak pelupusan yang terbakar itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan kawasan seluas hampir 7 hektar dari keseluruhan kawasan berkeluasan 16.2 hektar di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung terbakar dan memaksa 400 penduduk di kawasan berdekatan berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen IPU sementara di Ladang Byram, Nibong Tebal di sini mencatatkan bacaan 92 (sederhana) pada pukul 5 petang hari ini.

“Manakala stesen-stesen lain di Pulau Pinang mencatatkan bacaan antara 51 hingga 71 (sederhana) iaitu setara dengan bacaan di Kulim dan Sungai Petani di Kedah serta stesen-stesen di Perak.

“JAS Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Tegasnya, melakukan pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeiiling 1974 yang boleh dikompaun RM2,000 serta tindakan mahkamah yang membawa hukuman denda maksima RM500,000 dan lima tahun penjara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI