LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menegaskan pasukannya berdepan kesukaran untuk menamatkan aksi Liga Perdana Inggeris musim ini di kelompok empat terbaik.
Malah, Conte juga merasakan kebangkitan yang dijelmakan ketika mengejutkan Leicester City, Khamis lalu tidak mencukupi dan masih ada banyak aspek yang perlu diperbaiki khususnya untuk berdepan Chelsea tengah malam ini.
“Jangan lupa, kami menang ke atas Watford pada minit terakhir, begitu juga ketika mengatasi Leicester City. Agak gembira untuk melihat pasukan saya berjuang hingga hujung perlawanan.
“Namun, jika empat mata dipotong (sekiranya gagal menang ke atas Watford dan Leicester), mungkin kamu tidak akan bertanyakan soalan ini. Paling penting adalah bersikap realistik dan faham yang cabaran sukar menanti kami musim ini.
“Saya tidak akan mengubah pendapat saya hanya kerana kami memperoleh keputusan positif. Sebaliknya kami perlu tampil lebih baik,” kata Conte.
Perlawanan di Stamford Bridge menjadi pertemuan ketiga buat kedua-dua pasukan sepanjang Januari, selepas The Blues menang dalam dua aksi sebelum ini di saingan Piala Liga Inggeris.
Ketika ini, Tottenham Hotspur mengutip 36 mata hasil 11 kemenangan dan tiga kali seri, namun masih kurang empat perlawanan berbanding Chelsea yang sudah pun bermain 23 aksi. – AGENSI