SIK – Sepasang suami isteri merayu kepada orang ramai supaya membantu mereka untuk mengumpul dana bagi membeli mesin sedut kahak dan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) buat bayi mereka yang kini terlantar di wad hospital.
Muhammad Faizal Sudin, 38, berkata, bayinya, Putra Muhammad Ashraf, enam bulan, terpaksa bergantung kepada bantuan mesin oksigen 24 jam sehari kerana mengalami masalah saluran pernafasan sempit sejak dilahirkan.
Katanya, bayi lelaki itu juga hanya minum menggunakan saluran tiub khas untuk menyusu.
“Bayi terpaksa tinggal di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar sejak lahir kerana kami tiada wang untuk membeli CPAP dan mesin sedut kahak.
“Jika tiada mesin itu, anak akan tetap tinggal di HSB. Isteri, Hidayah Ahmad, 32, pula terpaksa tinggal di wad sedangkan kami mempunyai seorang lagi anak, Putri Nur Diana Aisyah, 5, yang tinggal di rumah bersama saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Aris, Mukim Jeneri kelmarin.
Tambahnya, mereka memerlukan RM25,000 untuk membeli mesin tersebut dan tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu kerana dia hanya bekerja sebagai mekanik, manakala Hidayah pula suri rumah.
Menurut Muhammad Faizal, HSB hanya membenarkan Hidayah menjaga Putra di wad kerana dia tiada kemahiran untuk mengendalikan mesin sedut kahak.
“Akibat terlalu lama di hospital, Nur Hidayah mengalami bengkak-bengkak kaki kerana tidak mempunyai rehat yang cukup,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal berkata, pihaknya bersimpati dengan apa yang menimpa Muhammad Faizal sekeluarga dan telah melancarkan tabung bagi mengutip dana membeli CPAP dan mesin sedut kahak untuk bayinya.
“Setakat ini, Projek Wakaf Tabung Baby Putra itu berjaya mengumpul RM11,660, namun masih mempunyai baki RM13,340 untuk dicari,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank CSM di 5520-6852-2859 (Maybank). -K! ONLINE