KOTA KINABALU – Orang awam di Lintas Plaza gempar selepas seorang wanita terjatuh dari tingkat empat bangunan sebuah hotel pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, wanita berusia 50 tahun terbabit dikatakan berdiri di kawasan tempat letak kereta sebuah bangunan sebelum dipercayai bertindak terjun.
Beberapa pemandu kenderaan yang melalui jalan berkenaan turut terkejut selepas melihat seorang wanita tiba-tiba jatuh dan terbaring di atas jalan.
Saksi kejadian turut mendakwa sempat melihat wanita terbabit meraung kesakitan sebelum tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan seorang guru tadika dan masuk ke bangunan itu pada pukul 7.10 pagi sebelum meletakkan kenderaannya di tingkat empat.
“Mangsa kemudiannya dipercayai terjun ke bawah dan disedari orang awam dan terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
“Kita menerima laporan pada pukul 8.05 pagi dan sepasukan polis terus dikerah ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi menyatakan siasatan awal pasukan forensik polis hanya menemui beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa dipercayai kesan impak terjatuh dari tempat tinggi.
“Polis tidak menemui sebarang senjata di lokasi yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa di tempat kejadian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan,” katanya. – K! ONLINE