JOHOR BAHRU – UMNO pusat bersedia untuk membantu jentera parti di Johor dari pelbagai sudut jika Pilihan Raya Negeri (PRN) berlaku dalam masa terdekat.
Setiausaha UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya bersedia untuk menghantar bantuan dari negeri-negeri lain bagi membantu proses PRN berlangsung sekiranya ia benar-benar berlaku.
Dalam pada itu, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka akan berada di negeri ini pada Selasa dan Rabu ini jika PRN dijadualkan akan berlaku.
“Di peringkat pusat, kita bersedia menghadapi apa juga kemungkinan sebagaimana yang berlaku di PRN Melaka. Kita akan laksanakan bantuan dari negeri angkat jika PRN Johor berlaku.
“Selaku Setiausaha Agung UMNO mewakili UMNO Pusat, kami akan buat persiapan sewajarnya. Dari segi urusan teknikal (penentuan tarikh), jadi atau tidak, kita akan serahkan kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang dipengerusikan oleh Hasni.
Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberi bayangan parti itu sedia bekerjasama dengan UMNO, Ahmad berkata, UMNO Pusat belum menerima permintaan secara rasmi daripada Pas.
Ahmad berkata, setakat ini UMNO pusat masih berpegang kepada keputusan yang dibuat pada PRN di Melaka apabila bertanding bersendirian menggunakan logo sendiri tanpa sokongan parti lain.-K! ONLINE