fbpx

Tunggu lama untuk dapat bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GOLONGAN OKU memohon JKM memudahkan prosedur permohonan bantuan buat mereka. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Terpaksa berulang-alik untuk menghantar dokumen selain perlu me­nunggu lama bagi mendapatkan keputusan antara cabaran yang dihadapi golongan orang kelainan upaya (OKU) bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Bukan sahaja dokumen me­maparkan masalah kesihatan, malah mereka juga perlu mengemukakan bukti diri seorang OKU.

Bapa kepada dua anak yang juga OKU penglihatan, A. Saravanan, 46, memberitahu, dia menunggu hampir tiga bulan sebelum permohonannya diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia yang telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak terpaksa memohon bantuan dari JKM bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggungnya.

“Saya merupakan OKU cacat penglihatan sejak dari kecil lagi. Salah seorang anak juga mempunyai masalah sama.

“Ketika memohon bantuan, saya perlu menyediakan beberapa dokumen penting seperti dokumen kesihatan termasuk bukti saya seorang OKU.

“Saya juga terpaksa berulang alik ke JKM sebanyak tiga kali dan keadaan itu agak membebankan golongan OKU kerana kami bukan seperti orang biasa.

“Masalah sama turut dihadapi ketika memohon bantuan untuk anak perempuan berusia 14 tahun. Pro­sesnya agak membebankan dan terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk diluluskan,” katanya di sini semalam.

Saravanan berkata, dia bersyu­kur kerana permohonannya diluluskan dan dia mendapat bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada JKM.

“Saya dan isteri bekerja sendiri sejak 10 tahun lalu, namun ketika pandemik Covid-19, kami bagaikan jatuh ditimpa tangga kerana tidak dapat keluar rumah untuk bekerja hanya mengharapkan bantuan JKM.

“Terima kasih kerana membantu golongan OKU untuk meneruskan kehidupan cuma perlu penambahbaikan dari segi prosedur dan tempoh menunggu,” jelasnya yang tinggal di Nilai, Nege­ri Sembilan.

Sementara itu, seorang lagi OKU mental dikenali Tarmizi, 51, berkata, dia masih belum mene­rima sebarang bantuan kewangan daripada JKM selepas permohonan dibuat akhir November tahun lalu.

“Saya tinggal di Kemaman, Terengganu dan ketika ini tidak bekerja serta bergantung bantuan keluarga,” ujarnya.

Tarmizi turut berharap, JKM dapat mempermudahkan urusan permohonan dan memahami kekangan OKU yang sukar bergerak selain ada antaranya tidak memahami apa yang diperlukan.

“Seperti saya, sukar memahami prosedur selain terpaksa mengisi beberapa dokumen sebagai bukti.

“Saya sangat berharap mendapat bantuan yang disediakan bagi menampung kehidupan pada masa depan,” luahnya dalam nada sebak.

Berita berkaitan: 4.2 juta OKU terlepas bantuan, keistimewaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI