KELIHATAN seperti berundur selangkah ke belakang, realitinya nama dramatis popular, Tiz Zaqyah agak sepi sejak akhir-akhir ini.
Sudahlah jarang muncul di layar kaca, kisahnya juga tidak banyak yang diperkatakan. Jika ada, sesekali ayat-ayat curahan hatinya yang berkicau garang menerusi Twitter.
Tiz sebenarnya agak misteri dan tidak mustahil ramai yang berfikir, adakah bintang yang meledak popular menerusi naskhah Nur Kasih itu sudah tidak lagi aktif dalam bidang lakonan.
Ironinya, dia bernafas sebagai pelakon, masih menari riang dengan karier kecintaannya itu mungkin sampai bila-bila.
Menelusuri hatinya, Tiz mengakui sengaja memperlahankan sedikit rentak lakonan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan Mac tahun lalu.
Kata Tiz, bukan langsung tidak ada tawaran lakonan buatnya, tapi dia sendiri memilih untuk sedikit selektif berbanding beberapa tahun sebelum ini.
“Tawaran berlakon itu alhamdulillah ada sampai sekarang. Tapi saya sendiri yang terpaksa tolak secara baik disebabkan komitmen lain.
“Sepanjang PKP dilaksanakan sampailah ke hari ini, boleh dikatakan saya banyak menghabiskan masa di rumah berbanding turun ke set.
“Tapi, kalau dikatakan saya sudah tidak aktif dan sudah ‘cuci tangan’ dalam dunia lakonan, itu sama sekali tidak benar. Kalau perlahankan sedikit rentak, itu betul,” katanya.
Bakal menemui penonton menerusi sebuah naskhah premium, Villa Kristal yang bakal ditayangkan menerusi laman penstriman WeTV tidak lama lagi, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak, 34, itu tidak sabar menantikan reaksi ramai tentang karya arahan Kabir Bhatia tersebut.
Menurut Tiz, nama Kabir itu sendiri mendorong keinginannya menerima tawaran naskhah berkenaan.
Adegan berani
“Ya saya bersetuju untuk berlakon dalam drama Villa Kristal ini disebabkan pengarahnya, Kabir Bhatia. Lama saya tak bekerjasama dengannya dan ini satu peluang yang ramai nantikan.
“Dalam naskhah ini, saya membawakan watak seorang wanita bekerjaya yang penuh dengan misteri dan menyimpan tanda tanya.
“Paling menarik, bila kita pertama kali membaca skrip, watak yang diberikan pengarah macam seolah-olah dekat dengan identiti dan sifat setiap pelakon,” katanya.
Lebih dramatik, naskhah tersebut menampilkan adegan berani Tiz yang pastinya ‘diharamkan’ jika untuk siaran televisyen konvensional sebelum ini.
Kata Tiz, antara babak yang terpaksa dibawa dan merupakan kali pertama dijayakannya adalah babak mandi bunga untuk membuang bala kerana terlalu lama membujang.
“Ini antara cabaran yang terpaksa saya bawakan. Babak tersebut juga tidak pernah saya bawa dalam mana-mana naskhah sebelum ini.
“Mana saya ada pengalaman mandi bunga, tapi dalam Villa Kristal saya lakukan demi mencabar diri dan penonton semua,” katanya.
Meneruskan perbualan, Tiz mengakui bukan mudah untuk pasukan produksi menyiapkan naskhah tersebut, lebih-lebih perlu patuh prosedur operasi standard (SOP).
Tidak sahaja berdepan cabaran bagi menghidupkan watak Diana, Tiz juga teruji apabila dijangkiti Covid-19 sehingga mengganggu penggambaran.
“Kami juga terpaksa berehat dan menangguh seketika penggambaran sebelum dibenarkan semula pada pertengahan tahun lalu.
“Ingatkan sampai situ saja, bila dah sambung penggambaran, tiba-tiba saya pula jadi kontak rapat kepada seorang rakan. Jadi terpaksa berhenti lagi dan jalani kuarantin selama 10 hari.
“Jadi, di situ saja sudah 20 hari saya terpaksa berehat sepanjang berlakon drama tersebut. Inilah cabaran paling besar sepanjang berlakon dalam norma baharu,” ujarnya.
Mungkin ramai tahu atau barangkali tidak perasan, Tiz bukan sahaja pelakon berkaliber, bahkan seorang artis yang cukup berbakat dalam seni lukisan.
Akui Tiz, sebelum Covid-19 membadai dunia, dia pernah meninggalkan seketika aktiviti melukis lantaran sibuk dengan lakonan.
Jual lukisan
“Saya kembali aktif melukis semasa PKP. Apabila dah lama tak melukis, rasa tertekan dan tak ada motivasi.
“Ramai yang minta supaya saya kembali melukis, saya rasa itu satu terapi dan memberikan ketenangan.
“Saya mengenali rakan-rakan pelukis dalam Twitter dan merekalah yang banyak memberikan dorongan kepada saya untuk kembali dan terus melukis,” katanya.
Kini, Tiz dalam proses untuk menghasilkan seberapa banyak koleksi lukisan ujtuk memenuhi permintaan ramai, bahkan peminat dari luar negara.
“Rasa rugi pula jika bakat yang ada tidak digunakan. Ketika sibuk dengan lakonan, saya langsung tidak rasa perkara itu penting.
“Namun, bila dah PKP dan jadi macam ni, lukisan ini secara tidak langsung bantu saya untuk tambah pendapatan sampingan.
“Jujur saya katakan, sejak dah mula melukis dua tahun kebelakangan ini, saya terpaksa tolak beberapa tawaran lakonan kerana mahu fokus dengan aktiviti seni lukis,” tutupnya.