SINGAPURA – Satu trend mempromosi diri untuk dijadikan teman sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Kekasih sedang hangat diperkatakan di laman TikTok Singapura, lapor portal berita Mothership, hari ini.
Sebagai sebahagian daripada aliran TikTok baharu, sesetengah individu telah menggunakan platform tersebut dengan mengatakan bahawa mereka sedia untuk ‘disewa’ sebagai teman bagi sambutan tersebut.
Tawaran bermula serendah S$50 (RM155) untuk perkhidmatan seperti menghantar sarapan pagi hingga ke S$500 (RM1,556) bagi meyakinkan ibu bapa penyewa bahawa mereka tidak bertemu kekasih toksik.
Aktiviti lain termasuk memuat naik Insta Story pada Hari Kekasih, bersiar-siar sambil berpegangan tangan di Gardens By The Bay dan merakam gambar pasangan yang comel.
Seorang pengguna TikTok dengan akaun @matz.c, mempromosi pakej Tahun Baharu Cina Istimewa berharga S$2,000 (RM6,226).
Bagi pakej tersebut, dia menyediakan khidmat mengumumkan hubungan ‘cinta’ mereka di laman Instagram dan meletakkan nama gadis penyewa di profilnya.
Trend mengiklankan diri sebagai teman untuk majlis-majlis khas bukanlah perkara baharu. Sejak beberapa tahun lalu, terdapat contoh siaran media sosial serupa, kebanyakannya dilakukan dengan niat untuk bergurau. – Agensi