JEMPOL – Kesemua anak peserta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang masih bersekolah dan terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini akan dibantu menerusi program bantuan persekolahan hasil peruntukan sebanyak RM1 juta.
Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, bantuan hasil peruntukan Yayasan Risda itu merangkumi pemberian peralatan serta pakaian sekolah bernilai RM100 bagi setiap murid.
“Pengarah Risda Negeri telah diminta untuk mengenal pasti anak-anak yang layak untuk menerima bantuan ini.
“Menerusinya, kami akan membantu meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan anak masing-masing dan saya harapkan agar semua anak-anak yang terjejas dengan banjir ini dapat kembali ke sekolah dalam keadaan yang ceria,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata demikian kepada pemberita selepas Program Happy To School Parlimen Jempol Bersama Risda di sebuah gedung pakaian di Bahau di sini hari ini. – K! ONLINE