fbpx

RFID: Berguna atau menyusahkan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. RASDAN AHMAD,
WARTAWAN EKSEKUTIF

TATKALA negara-negara lain berlumba-lumba dalam mengejar kepesatan teknologi, Malaysia turut tidak ketinggalan dalam perlumbaan ini.

Ternyata negara jiran seperti Thailand dan Singapura yang berjaya melaksanakan sistem bayaran tol secara teknologi baharu menjadi pemangkin kepada kita untuk sama menggunakannya.

Beberapa hari lalu, sistem Identifikasi Frekuensi Radio RFID menjadi perdebatan hangat selain isu pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’ yang masih diharap­kan kebanyakan rakyat .

Pendebatan isu RFID mula berlaku setelah beberapa tinjauan di beberapa tol utama di ibu negara yang memperlihatkan pelaksanaannya tidak berjalan lancar. Dilaporkan banyak pemandu terpaksa menunggu dan beratur panjang setelah lorong pembayaran RFID ini dibuka.

Ramai pengguna yang tidak puas hati dengan cara bayaran tol itu yang dikatakan menyusahkan serta kualiti bacaan kod bar di kamera pemantau tidak tepat.

Banyak juga kenderaan yang terpaksa mengundur semula dan memasuki lorong bayaran secara Touch ‘n Go seperti yang digunakan sebelum ini.

Pelaksanaan bayaran RFID oleh kerajaan ini pada dasarnya adalah bagi memudahkan dan melicinkan perjalanan pengguna lebuh raya, namun lain pula jadinya.

Tidak habis isu berkenaan kegagalan pelaksanaan bayaran RFID, harga pembeliannya pula yang dikatakan mahal berban­ding harga asal diungkit kembali oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Harga jualan sehingga men­cecah RM35 dianggap terlalu mahal, malah kosnya mungkin tidak sampai RM1 sudah cukup membuatkan pelaksanaan RFID ini perlu dikaji balik dan pembukaan semula lorong SmartTAG dilakukan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, isu berkenaan masalah pengesanan pelekat RFID yang menyebabkan ke­sesakan teruk baru-baru ini me­nunjukkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) belum betul-betul bersedia dalam pelaksanaan kaedah traksaksi baharu itu.

Katanya, pihak terlibat sepatutnya terlebih dahulu menyedia­kan lorong percubaan RFID dengan jumlah petugas mencukupi agar sebarang isu dapat diatasi tanpa menimbulkan kesusahan seperti yang dialami ketika ini.

“PLUS sepatutnya sudah bersiap sedia dan buat jangkaan isu ini bakal berlaku. Ada pelekat RFID yang tidak dapat dikesan hingga pengguna terpaksa me­ngundurkan kenderaan dan akhir­nya berlaku kesesakan.

“Bukan tidak menyokong usa­ha kerajaan ini, tetapi dengan masalah yang timbul dibimbangi akhirnya pengguna hilang keya­kinan terhadap RFID,” katanya.

Melihat kepada isu ini, pelaksanaan RFID boleh dilakukan, namun perlu perlahan-perlahan dan dalam masa sama, SmartTAG dan Touch ‘n Go tidak dimansuhkan terus.

SmartTAG dan Touch ‘n Go juga dilihat masih memudahkan pengguna selain boleh digunakan lebih daripada satu kenderaan.

Perlu dilihat juga kepada penduduk luar bandar yang jarang datang ke ibu negara dan khususnya yang melakukan perjalanan jarak jauh, mereka tidak perlu memasang pelekat RFID dan ada juga antara mereka agak terlalu baru dan masih belum biasa dengan sistem baharu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI