fbpx

Ratu sukan terkaya dunia 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK dinafikan arena sukan kini bukan sahaja menjadi salah satu cabang kerjaya, malah ia turut dianggap sebagai pentas untuk bergelar jutawan kerana setiap kejohanan mula menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan.

Sukan-sukan popular seperti bola sepak, tenis, golf serta bola keranjang merupakan salah satu lubuk duit buat setiap atlet sekiranya sudah memiliki reputasi sebagai seorang atlet terkemuka.

Setiap atlet bukan sahaja memperoleh pendapatan hasil kemenangan dalam setiap pertandingan disertai, malah mereka juga menjana jutaan ringgit menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat jenama terkenal.

Setiap tahun, majalah bisnes terkemuka, Forbes sentiasa mengemas kini senarai atlet yang menerima bayaran paling tinggi di dunia dan kebiasaannya ia sering berubah-ubah.

Hari ini, Kosmo! menyenaraikan lapan atlet wanita yang menerima bayaran tertinggi sepanjang tahun 2021 sama ada dari segi hadiah kemenangan mahupun hasil sebagai duta produk.

NAOMI OSAKA

 

Umur: 25 tahun
Negara: Jepun
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$2.3 juta (RM9.64 juta)
Pendapatan luar padang: AS$55 juta (RM230.61 juta)

Hampir semua pendapatan Naomi Osaka berjumlah AS$57.3 juta (RM239.87 juta) datang daripada kerjasama yang dilakukan bersama lebih 10 jenama terkemuka dunia seperti Louis Vuitton, Sweetgreen dan Tag Heuer.

Walaupun mengharungi musim suram dalam saingan tenis pada 2021, namun dia tetap mengungguli carta atlet wanita yang menerima bayaran tertinggi sepanjang tahun lalu.

SERENA WILLIAMS

Umur: 41 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$900,000 (RM3.77 juta)
Pendapatan luar padang: AS$45 juta (RM188.69 juta)

 

 

Meskipun sekadar menyertai enam kejohanan WTA pada musim lalu, namun Serena Williams boleh diibaratkan seperti pisang goreng panas kepada syarikat-syarikat gergasi untuk melantiknya sebagai duta produk.

Tahun lalu, dia juga menjadi penerbit eksekutif untuk filem King Richard selain memiliki pelaburan dalam syarikatnya, Serena Ventures.

VENUS WILLIAMS

Umur: 42 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$300,000 (RM1.26 juta)
Pendapatan luar padang: AS$11 juta (RM46.12 juta)

Kelibat bekas pemain No. 1 dunia ini jarang-jarang dapat dilihat dalam kejohanan WTA sejak kebelakangan ini.

Pendapatan pemain biasa mungkin terjejas teruk sekiranya tidak banyak menyertai kejohanan, namun tidak bagi Venus Williams memandangkan dia memiliki jenama pakaian sendiri, EleVen yang berkolaborasi dengan K-Swiss.

Seperti adiknya Serena, dia juga merupakan penerbit eksekutif filem King Richard.

SIMONE BILES

Umur: 25 tahun
Negara: Amerika Syarikat
Sukan: Gimnastik
Pendapatan dalam padang: AS$1 juta (RM4.19 juta)
Pendapatan luar padang: AS$10 juta (RM41.93 juta)

Walaupun dia dikritik hebat pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu kerana menarik diri dalam lima acara, namun Simone Biles sudah pun memahat namanya sebagai legenda.

Dia bekerjasama dengan Autograph untuk mengeluarkan token NFTs pada Ogos lalu selain imejnya digunakan dalam Jelajah Gimnastik di Amerika Syarikat.

GARBINE MUGURUZA

Umur: 29 tahun
Negara: Sepanyol
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$2.8 juta (RM11.74 juta)
Pendapatan luar padang: AS$6 juta (RM25.16 juta)

Dalam saingan antara 2018 sehingga 2020, prestasi Garbine Muguruza dianggap kurang memuaskan biarpun berjaya menjadi naib juara Terbuka Australia pada 2020.

Bagaimanapun, kebangkitan yang ditampilkan tahun lalu dengan memenangi tiga kejohanan selain berada pada ranking ketiga dunia membolehkan dia menerima bonus daripada penaja.

Selain itu, dia juga memiliki perjanjian penajaan dengan Jaguar, Nivea, Adidas dan Babolat.

KO JIN YOUNG

Umur: 27 tahun
Negara: Korea Selatan
Sukan: Golf
Pendapatan dalam padang: AS$3.5 juta (RM14.68 juta)
Pendapatan luar padang: AS$4 juta (RM16.77 juta)

Ko Jin Young meraih hadiah wang tunai AS$1.5 juta (RM6.28 juta) selepas memenangi Kejohanan CME Group Tour pada November lalu walaupun akur status sebagai pemain No. 1 dunia hampir dua tahun dirampas Nelly Korda.

Walaupun tidak mendapat tajaan tetap untuk kelengkapan kayu golf, namun dia masih menjana pendapatan lumayan hasil perjanjian dengan LG Electronics, Korean Air, air mineral Jeju SamDasoo serta produk penjagaan kulit Rejuran.

P. V. SINDHU

Umur: 27 tahun
Negara: India
Sukan: Badminton
Pendapatan dalam padang: AS$200,000 (RM838,600)
Pendapatan luar padang: AS$7 juta (RM29.35 juta)

Nama P. V. Sindhu tidaklah terlalu popular dalam arena sukan dunia, namun dia adalah jaguh di gelanggang badminton selain pernah berada dalam carta ini pada 2018.

Selepas memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, perseorangan wanita India ini menerima empat tajaan baharu daripada Byju’s, Spinny, Li-Ning serta Bank of Baroda.

ASHLEIGH BARTY

Umur: 26 tahun
Negara: Australia
Sukan: Tenis
Pendapatan dalam padang: AS$3.9 juta (RM16.35 juta)
Pendapatan luar padang: AS$3 juta (RM12.58 juta)

Tidak ada pemain tenis wanita lain yang meraih hadiah kemenangan lebih tinggi daripada Ashleigh Barty pada musim 2021.

Malah, pemain No. 1 dunia ini baru sahaja menandatangani perjanjian penajaan dengan Marriot Bonvoy. Satu pencapaian menakjubkan apabila sebahagian besar pendapatannya musim lalu hadir menerusi hadiah wang kemenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI