fbpx

‘Port mobil’ gagal kaburi polis, 25 ditahan di Padang Tengku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan dalam serbuan di sebuah 'port mobil' di dalam hutan berhampiran kawasan kampung di Padang Tengku dekat Lipis semalam.

LIPIS – Bagi mengelak dikesan polis penagih dadah di daerah ini kini mengggunakan taktik baharu dengan mewujudkan ‘port mobil’ yang ditukarkan setiap bulan di kawasan-kawasan hutan ladang sawit.

Bagaimanapun modus operandi baharu itu gagal mengaburi pihak polis yang berjaya mengesan dan menyerbu sebuah ‘port’ dadah yang terletak di kawasan hutan berhampiran kampung di Padang Tengku di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, dalam serbuan Ops Tapis bermula kira-kira pukul 6 pagi itu pihak polis berjaya menahan 25 penagih dadah berusia 19 hingga 60 tahun.

“Suspek lelaki berkenaan ditahan ketika sedang leka menghisap dadah di ‘port’ tersebut dan kita turut merampas dadah heroin seberat 20.40 gram.

“Jumlah tangkapan yang terbesar dan ini menunjukkan suspek yang juga penagih masih tidak serik dengan melakukan aktiviti penagihan dadah yang menyalahi undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azli, serbuan yang dilakukan 17 anggota polis itu adalah hasil maklumat orang ramai dan risikan pihak polis yang dilakukan secara berterusan.

Dalam pada itu katanya, siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39C ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Katanya, berdasarkan ujian awal saringan air kencing mendapati seramai 21 orang didapati positif dadah.

Sementara itu beliau berkata, pihak polis akan terus melakukan siasatan dan serbuan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Lipis berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat sehingga berjaya menggempur pot dadah tersebut dan diharap kerjasama berkenaan diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI