PUTRAJAYA – Jabatan Pedidikan Negeri (JPN) Sarawak mengambil tindakan segera dengan menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja menggantikan kayu penghadang koridor di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, Baram susulan insiden murid terjatuh dari beranda pada Rabu lalu.
Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kerja-kerja tersebut termasuklah pembaikan kecil lain yang kini sedang giat dilaksanakan dan ada sebahagiannya telah pun siap.
“Dua hari lalu kami menerima laporan berkaitan murid tahun dua di SK Long Bemang yang terjatuh dari beranda sekolah kerana kayu penghadang telah reput.
“Saya terus meminta semakan dibuat untuk melihat sama ada sekolah ini berada dalam senarai projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dan saya dimaklumkan sekolah ini memang telah ada dalam senarai tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengusahakan sebaik mungkin supaya proses tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti SK Long Bemang dibuat selewat-lewatnya bulan Februari ini.-K! ONLINE