KOTA BHARU – Kecuaian seorang pemandu lori simen yang tidak memastikan breknya berfungsi dengan baik membawa padah apabila kenderaan berat itu menghempap kereta yang dipandu seorang wanita semasa berhenti di simpang empat lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 4.10 petang itu menyebabkan Roslina Anat Lat, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kakinya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki memandu sebuah lori muatan simen sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Sri Cemerlang sebelum mendapati brek kenderaannya tidak berfungsi.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori berkenaan mengambil keputusan menukar laluan dan membelok ke kiri menghala ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk mengelak daripada merempuh kenderaan di hadapan.
“Semasa membelok ke kiri, lori itu dipercayai terbalik sebelum menghempap kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat di arah bertentangan dengan kenderaan berat tersebut.
“Kemalangan itu mengakibatkan wanita tersepit di dalam kereta sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Suhaimi, sebuah kereta jenis Honda Civic yang berada di belakang kereta mangsa turut dihempap lori itu, namun pemandunya yang merupakan seorang lelaki berusia 58 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, siasatan awal mendapati, kemalangan itu disyaki berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang gagal memastikan fungsi brek kenderaannya selamat.
Mohd. Suhaimi memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu mendapati dia negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE