IPOH – Malu untuk tampil menjalani ujian mamogram merupakan sebab utama masih ramai wanita di Perak yang menerima subsidi ujian berkenaan tidak hadir untuk pemeriksaan di hospital.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, masalah tersebut sering berlaku dalam kalangan wanita luar bandar.
Menurut beliau, sebanyak 23,218 wanita di negeri ini berdaftar bagi mendapatkan subsidi ujian mamogram tetapi hanya 19,828 sahaja yang menjalani ujian tersebut untuk tempoh 2013 sehingga September 2019.
“Tahun lalu seramai 1,031 wanita telah mendaftar untuk menjalani ujian subsidi mamogram dan hanya 880 sahaja yang menjalani ujian tersebut.
“Apabila kita turun bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kita lihat kesedaran itu masih kurang dalam masyarakat di mana masih ada perasaan malu.
“Saya kira sudah sampai waktu kita ubah persepsi itu dan jangan kita kata kanser payudara atau sesuatu mengenai payudara adalah hal wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Program Ceramah Awam dan Bengkel Pesakit Kanser Payudara 2022, di Hotel Sunway Lost World, Tambun, di sini, hari ini.