JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti bukan lagi rahsia apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan tinjauan ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Pasir Gudang, di sini semalam.
Bekas Menteri Besar Johor itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya berkata, pihaknya akan berusaha memastikan Barisan Nasional (BN) menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Permas.
“Saya nyatakan kepada ahli parti bahawa kita semua ada tanggungjawab dan peranan untuk kembalikan Johor sebagai tiang seri UMNO.
“Kita akan pastikan, segala retorik janji dan tipu daya Pakatan Harapan (PH) serta mereka yang pernah menjadi sebahagian dari PH yang menipu pengundi, tidak akan berulang lagi,” katanya.
Beliau dilaporkan berkata demikian ketika melawat PDM Telok Jawa di Kampung Kuala Masai dan PDM Sri Amar di Taman Sri Pandan, malam tadi.
Tambah beliau, BN mempunyai ‘track record’ dalam menguruskan Malaysia yang majmuk hingga mampu memacu kestabilan dan kemakmuran negara berdasarkan pengalaman dimiliki. – K! ONLINE