KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri sekali dicabar menyegerakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan isu banjir.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Tan Sri Noh Omar berkata, gesaan itu bagi mengetahui kerajaan negeri dibawah Pakatan Harapan (PH) yang menganggap lebih cekap dalam pengurusan bencana banjir berbanding agensi persekutuan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, pasca bencana banjir yang berlaku baru-baru ini sepatutnya digunakan semua pihak mencari jalan penyelesaian bukannya menunding jari mencari pihak yang bersalah.
“Bencana banjir yang berlaku melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor dan melibatkan semua orang tidak mengira ahli parti politik. Mengapa timbul isu salah menyalahkan MKN oleh pemimpin PKR.
“Saya cabar sekali lagi Kerajaan Selangor untuk mengadakan sidang DUN Khas sebagaimana yang dilakukan Dewan Rakyat minggu lalu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tanjong Karang, hari ini. – K! ONLINE