DOUALA, CAMEROON – Juara bertahan, Algeria gagal meneruskan rentak terbaik apabila tersingkir daripada saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas tumbang 1-3 kepada Ivory Coast pada aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Douala awal pagi semalam.
Algeria sebelum ini meletakkan sepenuh keyakinan mampu mengulangi aksi terbaik ketika menjuarai edisi 2019, namun malangnya gagal dilakukan kali ini apabila sekadar menghuni kedudukan tercorot Kumpulan E.
Lebih malang apabila bintang Manchester City, Riyad Mahrez gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Algeria sekali gus akur dengan kekalahan kepada Ivory Coast yang meraih tiga gol menerusi Franck Kessie, Ibrahim Sangare dan Nicolas Pepe.
Biarpun berjaya meraih satu gol menerusi Sofiane Bendebka, namun ia sudah terlambat untuk Algeria melakukan kebangkitan dalam perlawanan itu dan terpaksa berputih mata menyaksikan Ivory Coast dan Equatorial Guinea mara ke peringkat kalah mati.
“Satu kegagalan, itu kesimpulan yang saya mampu katakan. Kami gagal memanfaatkan peluang terutama pada awal perlawanan.
“Bukan itu sahaja, sepakan penalti juga kami sukar sempurnakan. Kami tidak cukup bagus dan layak tersingkir,” kata ketua jurulatih Algeria, Djamel Belmadi.
Sementara itu, pengendali Ivory Coast, Patrice Beaumelle berpuas hati dengan kemenangan tersebut dan berharap anak-anak buahnya mampu mengulangi persembahan sama menentang Mesir di peringkat 16 terbaik pada 26 Januari ini.
“Saya akui bukan mudah untuk melangkah lebih jauh. Kami akan lakukan sebaik mungkin untuk memburu trofi berprestij ini,” jelasnya. – AGENSI