PETALING JAYA – Selepas tular sebuah video memaparkan seorang gelandangan dikasari oleh seorang individu yang didakwa berlaku di Bukit Bintang, Jabatan Kebajikan Masyarakat cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) segera bertindak mengesan mangsa tersebut.
Menerusi satu ciapan yang dimuat naik di laman Twitter JKM Kuala Lumpur hari, pihaknya mengambil inisiatif untuk segera membantu gelandangan tersebut dengan menjejaki keberadaan warga emas itu.
“Rentetan mengenai video tular di laman media sosial, pihak JKM WPKL mengambil inisiatif untuk menyelamatkan warga emas tersebut.
“Bahagian Penguatkuasaan JKM WPKL pada hari ini telah pergi ke lokasi dinyatakan bagi mengenalpasti warga emas tersebut,” ciapnya hari ini.
Sementara itu, hasil dari pemantauan yang dilakukan, pihak JKM WPKL masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas susulan.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang gelandangan dikasari dan ditendang oleh seorang lelaki sehingga terduduk seolah-olah sedang menahan kesakitan selepas cuba menghalang individu tersebut daripada mengangkat kotak dan barangan yang diletakkan di laluan pejalan kaki. – K! ONLINE