JAKARTA – Seorang ibu muda di Depok, wilayah Jawa Barat nekad mengiklankan untuk menjual salah satu buah pinggangnya untuk membayar hutang sebanyak 1 bilion rupiah (RM292,154).
Menurut laporan laman berita Suara.com, Melvi Monita, 23, yang sarat hamil tujuh bulan berkata, dia mahu menjual salah satu buah pinggangnya kerana tidak tahan diganggu pengutip hutang.
“Saya sangat tertekan, setiap hari pasti ada pengutip hutang yang datang membuat kacau di rumah.
“Saya cuma mahu langsaikan hutang sahaja meskipun ada yang memarahi dan memberi simpati bila saya luahkan hasrat jual buah pinggang,” katanya.
Tambah Melvi, hutangnya menimbun selepas perniagaan minyak masaknya berdepan kerugian besar akibat lonjakan harga sejak beberapa bulan lalu.
Banyak stok minyak terpaksa dijual dengan harga rugi bagi mengelakkannya rosak dan tidak dibeli.
“Saya berhutang sana sini untuk membayar kerugian perniagaan dan akhirnya sama, masih dihimpit hutang,” jelasnya.
Melvi juga memaklumkan suaminya yang hanya bekerja buruh biasa turut tidak mampu membantu membayar hutang mereka. – Agensi