KOTA TINGGI – Seorang bapa ditimpa malang berganda apabila bukan sahaja baru kehilangan isteri akibat Covid-19 tahun lalu, malah kini diuji pula dengan anak perempuannya yang menghidap penyakit buat pinggang kronik.
Zukefley Osman, 52, dari Felda Pasak di sini memberitahu, anak keduanya, Nurul Ain, 18, disahkan menghidap penyakit itu sejak dua minggu lalu selepas mengalami muntah-muntah dan tidak boleh makan.
Katanya, pada awalnya dia menyangka Nurul Ain mengalami kemurungan selepas pemergian ibunya, namun tidak menyangka menghidap penyakit itu.
“Dia antara anak yang paling rapat dengan arwah. Selepas ibunya meninggal dia banyak mendiamkan diri. Namun lama kelamaan saya lihat mukanya semakin hari semakin pucat.
“Bila tanya dia hanya menjawab baik sahaja sehinggalah keadaan kesihatannya bertambah buruk bila tidak boleh makan dan muntah-muntah.
“Ketika itu kakinya sudah membengkak. Bila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan dia mengalami masalah buah pinggang kronik dan perlu menjalani dialisis,” katanya.
Terdahulu, Zukefley dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama, Rosleli Jahari yang menyerahkan bantuan wang sumbangan jiran-jiran, Majlis Belia Felda Malaysia Felda Pasak dan Petron Felda Pasak.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu lori selepas majikannya bertindak mengurangkan pekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan.
Menurut Zukefley, kini dia bergantung kepada hasil pendapatan menantunya yang turut menetap di rumah pusaka orang tuanya di sini.
“Sepatutnya saya sudah mula melakukan pekerjaan baharu namun perlu ditangguhkan kerana mahu menjaga anak yang menderita sakit ketika ini,” katanya.
Ujar Zulkefley, anaknya dijadualkan menjalani rawatan dialisis Isnin ini dan memerlukan kos kerana perlu membuat tapak.
“Saya amat bersyukur di atas sumbangan ini. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga ini boleh salurkan sumbangan ke akaun Public Bank 6827423224 Zukefley Osman atau hubungi 012-705 4146.