MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick sudah menemui posisi terbaik buat Bruno Fernandes dalam misi meneruskan rentak kemenangan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya menentang West Ham United di Old Trafford malam ini.
Rangnick percaya kemampuan Fernandes akan meningkat ke satu tahap lebih tinggi apabila diletakkan beraksi di posisi No. 8 berbanding No. 10 yang sering digunakannya dalam formasi permainan 4-2-2-2 yang diguna pakai sebelum ini.
Ia terbukti apabila perubahan taktikal 4-3-3 menyaksikan Fernandes berjaya mencipta dua umpanan jaringan buat Marcus Rashford dan Mason Greenwood ketika menjinakkan Brentford 3-1 kelmarin.
“Kebanyakan pasukan hebat di Eropah dan England menggunakan taktikal 4-3-3. Saya fikir ini lebih baik daripada terus memainkan peranan No. 10.
“Dia bukan pemain sayap. Jadi posisi No. 8 ini membolehkan dia bergerak lebih bebas untuk bermain di semua bahagian padang, tidak hanya berlegar di kawasan tengah.
“Ia amat berkesan kerana dia seorang pemain yang boleh menghidu ruang-ruang kosong. Saya percaya ini adalah posisi terbaik buat dirinya,” kata Rangnick.
Perubahan posisi tersebut ternyata berkesan buat Fernandes apabila perancang tengah Portugal itu berjaya meledak dua gol dan mencipta dua umpanan jaringan dalam dua perlawanan terakhirnya.
Kecemerlangan Fernandes secara tidak langsung berjaya mengaburi insiden panas yang dicetuskan Cristiano Ronaldo gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan Rangnick mengeluarkannya dalam separuh masa kedua ketika menentang Brentford kelmarin. – AFP