fbpx

Dua lagi individu direman susulan kes seleweng dana MITRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang daripada dua individu yang ditahan SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan permohonan reman hari ini. -Foto IHSAN SPRM

PUTRAJAYA – Dua lagi individu kini ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut sumber, dua individu tersebut merupakan pengerusi dan setiausaha sebuah persatuan kebajikan yang disyaki telah mengemukakan Laporan Akhir Pelaksanaan Program Bantuan Kewangan Khas MITRA mengandungi butiran matan palsu bernilai RM1 juta namun tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“SPRM telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Putrajaya untuk menahan reman mereka selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Pertambahan dua individu ini menjadikan jumlah yang berjaya ditahan sehingga kini adalah seramai 26 orang dan mereka yang direman pula seramai lapan orang,” katanya hari ini.

Jelasnya, kesemua individu tersebut berjaya ditahan susulan dua fasa operasi iaitu Mitra 1.0 dan Mitra 2.0 yang dijalankan di beberapa negeri seperti di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

“SPRM telah bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM 1 juta.

“Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA dari tahun 2019 hingga 2021,” ujar beliau.

Tambahnya, berdasarkan siasatan, peruntukan paling tinggi yang diluluskan ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta. Ianya diluluskan kepada 205 syarikat, persatuan dan NGO. Daripada jumlah tersebut, terdapat lapan syarikat dikenalpasti memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI