JAKARTA – Selebriti media sosial tersohor Indonesia, Atta Halilintar dikatakan berjaya melelong kain bandana miliknya di Instagram dengan harga mencecah 9.5 bilion rupiah (RMRM2.8 juta), lapor laman Suara.com, kelmarin.
Atta yang juga menantu penyanyi Kris Dayanti, memuat naik gambar bandana hitam di laman Instagramnya dan memaklumkan kain itu sangat istimewa kerana ia adalah cetakan pertama jenama AHHA miliknya.
“Ini adalah bandana paling istimewa kerana ia merupakan cetakan pertama jenama AHHA.
“Hasil lelongan akan disalurkan kepada pertubuhan tahfiz dan madrasah anak-anak hafiz Al-Quran,” tulis keterangan foto.
Dalam kebanyakan lelongan yang dinyatakan, salah seorang pengguna @m_ridwan89 menawarkan harga RM2.8 juta.
“Bismillah, RM2.8 juta (harga tawaran),” tulis pengguna itu.
Tawaran itu mendapat pelbagai reaksi pengikut lain namun tidak dipastikan adakah urusan lelongan telah disempurnakan antara Atta dan individu berkenaan. – Agensi