BENTONG – Syarikat pengurusan sisa, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) memainkan peranan penting dalam memulihkan kehidupan penduduk pasca banjir dengan menggiatkan usaha kutipan sisa dan aktiviti pembersihan di Pahang yang dijangka memakan masa lebih sebulan sehingga hujung Januari.
Selepas 33 hari kerja-kerja kutipan sisa dan pembersihan akibat banjir dilaksanakan, Alam Flora masih meneruskan operasi di daerah Bentong dan Temerloh yang teruk terjejas dilanda bencana banjir beserta lumpur.
Timbalan Pengurus Besar (Bahagian Operasi) Alam Flora, Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim berkata, pada masa ini, kerja-kerja kutipan sisa melibatkan lapan daerah terjejas banjir di negeri ini telah siap dengan merekodkan kutipan kira-kira 30,000 tan.
“Operasi melibatkan dua fasa iaitu kutipan dan pembersihan, yang mana fasa kutipan telah siap pada 19 Januari lalu, manakala fasa pembersihan yang dimulakan minggu lepas dijangka selesai pada akhir bulan ini.
“Di daerah lain semua operasi telah ditamatkan, namun bagi Bentong dan Temerloh, kerja-kerja pembersihan dianggarkan pada tahap 30 peratus siap.
“Untuk dua daerah ini, kami lihat terlalu banyak sisa terutamanya di dalam longkang, dengan sisa seperti selut sedalam dua kaki (0.6 meter) mengakibatkan kerja-kerja pembersihan memerlukan lebih masa,” katanya selepas melakukan tinjauan operasi pembersihan di Taman Wijaya Karak, di sini semalam.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut terlibat dalam kerja kutipan sisa dan pembersihan di daerah Kuantan, Bentong, Temerloh, Pekan, Lipis, Maran, Pekan dan Bera.
Raja Kamal Azizol memberitahu, jumlah jentera yang digunakan adalah sekitar 500 buah, termasuk jentera berat yang dipinjam dari Kuala Lumpur untuk mempercepatkan kerja pembersihan dengan sokongan 1,500 orang pekerja.
Jelasnya, fokus fasa pembersihan adalah kawasan longkang yang dipenuhi lumpur, kawasan jalan yang berdebu dan kawasan rumput yang diliputi lumpur yang perlu menggunakan kaedah manual, bagi memastikan rumput di kawasan terlibat tidak mati.
Beliau turut mengharapkan kerjasama daripada penduduk setempat dalam memastikan kelancaran kerja-kerja pembersihan.
“Cabaran utama kami adalah membersihkan sisa longkang, yang mana ia tidak boleh dibuat secara manual kerana akan mengambil masa lama selain memenatkan pekerja, jadi kami gunakan jentera.
“Dengan jumlah lumpur yang banyak, jentera terpaksa berulang-alik banyak kali, termasuk di laluan sempit yang menyukarkan jentera untuk keluar masuk,” ujarnya.