PETALING JAYA – Menjadi seorang ibu adalah impian bagi setiap wanita selepas berkahwin dengan kehadiran cahaya mata yang mampu menguatkan lagi hubungan suami isteri.
Namun realitinya bukan semua wanita mampu untuk hamil dan memberi zuriat kepada pasangan.
Menerusi perkongsian seorang wanita yang dikenali sebagai Intan Syafinaz di laman sosial miliknya, dia yang reda dengan ketentuan Ilahi apabila doktor mengesahkan bahawa kandungannya tidak dapat dikesan kerana berada di luar rahim dan perlukan pembedahan segera.
“Doktor cakap kena buat pembedahan untuk buang kandungan sebab nanti kalau pecah akan lebih bahaya.
“Aku reda, sakit tu jangan ditanya, cukuplah diri sendiri yang merasa,” tulisnya di kapsyen video tersebut.
Menurut Intan, pada mulanya, darah turun secara tiba-tiba tetapi hanya sedikit dan kemudian dia mula tidak selesa apabila mengalami sakit perut yang berbeza dari kebiasaan.
“Pada malam 15 Januari, tiba-tiba darah turun dan rasa sakit perut, saya terus datang ke Hospital Parit Buntar.
“Keesokan harinya, aku dihantar ke Hospital Taiping dan kena tahan wad, doktor buat pemeriksaan dan tak nampak janin dalam kandungan,” katanya.
Lebih menyedihkan Intan apabila dia hanya sempat merasa turuja selama lapan hari selepas doktor mengesahkan kandungannya pada 10 Januari yang lalu.
Kemudian, keterujaan untuk menjadi seorang ibu akhirnya terkubur apabila pada 18 Januari dia kehilangan anaknya dan kini Intan sedang menjalani fasa berpantang.
Susulan daripada kejadian itu, Intan memaklumkan dia hanya mempunyai satu tiub fallopian sahaja di bahagian kiri disebabkan tiub pada bahagian kanan telah rosak dan dibuang ketika pembedahan dilakukan.
Video berdurasi 24 saat itu berjaya meraih lebih 62,000 tontonan dan rata-rata orang ramai memberikan kata-kata semangat di ruangan komen dan ada juga pengguna yang berkongsi pengalaman mereka mengalami situasi yang sama.
“Saya pun dah buang satu tiub pada bahagian kiri, lepas setahun baru ada rezeki dapat anak, yang penting jaga pemakanan dan sentiasa berdoa,” kata Sya Asari.
“Semoga kita sama-sama kuat, saya pun baru keguguran minggu lepas, selamat berpantang,” tulis Ayie Rozirie di ruangan komen.
Selain itu, seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Norlia Zainal turut berkongsi pengalamannya.
“Semoga kuat semangat awak, saya pun baru lepas gugur setelah usia kandungan sembilan minggu, setahun tunggu dapat zuriat, akhirnya sekejap sahaja merasa, sama-sama kita kena kuat hadapi ujian Allah,” ujarnya. – K! ONLINE.