PASUKAN Penang Black Panthers masih menantikan khidmat pemain import dari Thailand, Aekasit Naphon biarpun kelibatnya masih belum kelihatan pada aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 yang sudah memasuki minggu ketiga hari ini.
Perejam berusia 28 tahun tersebut sebelum ini dikatakan bakal beraksi pada minggu kedua semasa perlawanan menentang KL Thunder dan Selangor Pistons minggu lalu.
Ketua jurulatihnya, Mohamad Fazil Mohd. Asri berkata, pemain import pasukan harimau kumbang itu dijangka membuat kemunculan pada bila-bila masa, namun bukan dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, satu perbincangan akan diadakan dengan pihak pengurusan berhubung kesesuaian masa kehadiran pemain dari Kelab Sepak Takraw Tentera Laut itu selain mengambil kira tempoh kuarantin yang bakal dijalaninya nanti.
“Memang dia (Aekasit) akan datang ke sini dan membantu memantapkan lagi kekuatan barisan pasukan. Penyokong juga sudah tentu merindui rejaman padunya.
“Bagaimanapun, saya yakin semua barisan pemain muda tempatan ini mampu menggandakan rentak cemerlang mereka pada perlawanan menentang pasukan terbaik STL, Kelantan Warriors malam ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pasukan Penang Black Panthers belum boleh diletakkan dalam kedudukan zon selesa meskipun berada di tangga kedua liga STL setakat ini.
“Kami tidak terlalu berharap kerana perjalanan pasukan ini dalam liga STL masih jauh. Yang penting, perlu bijak pasang strategi semasa menentang pasukan lawan.
“Bukan mudah untuk menjulang kejayaan tanpa ada semangat setiawakan dalam pasukan selain mampu mencipta komunikasi yang baik semasa di gelanggang, “ tambahnya.
Setakat ini, pasukan Penang Black Panthers masih berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan bertemu Negeri Sembilan Antlers, Bomba Fighter, KL Thunders dan Selangor Pistons pada aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.