fbpx

SMK Bandar Saujana Putra bakal dibuka selepas terbengkalai sejak 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SMK Bandar Saujana Putra yang bakal dibuka bagi sesi baharu persekolahan Mac ini.

PUTRAJAYA – Lebih 50,000 penduduk di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor, dapat menarik nafas lega apabila sekolah menengah di kawasan tersebut bakal dibuka untuk sesi baharu Mac ini.

Itu jaminan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin ketika hadir meninjau institusi tersebut yang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra.

“Jika anda masih ingat lagi, kami pernah datang ke sini pada akhir 2020 lalu. Alhamdulillah, ia sudah siap sepenuhnya dan hanya tunggu bawa masuk perabot bagi dilengkapkan,” katanya.

Melalui hantaran dalam akaun sosial Facebooknya, Mohd. Radzi memaklumkan bahawa sekolah itu terbengkalai sejak 2019, sekali gus menyukarkan ibu bapa menghantar anak mereka untuk pengajian peringkat sekolah menengah.

Beliau turut memuat naik rakaman video berdurasi 1 minit 58 saat yang memaparkan tinjauan ke sekolah berkenaan serta suasana dalaman sekitar institusi tersebut telah pun siap dibina.

Bandar Saujana Putra dengan berkeluasan lebih 344 hektar dan sudah dibuka pada 2003 lalu, bagaimanapun masih belum ada sekolah rendah namun projek itu masih dalam pembinaan.

Keadaan itu menyebabkan ribuan penduduknya terpaksa menyekolahkan anak mereka di luar kawasan perumahan tersebut sama ada di Jenjarom, Putrajaya, Cyberjaya atau Puchong.

Mengulas lebih lanjut, Mohd. Radzi menjelaskan, pihak kementerian itu memberi jaminan SMK Bandar Saujana Putra dibuka pada awal penggal pertama persekolahan sesi 2022/2023.

“Insya-Allah, pemakluman lanjut berkaitan proses pendaftaran murid ke sekolah baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat untuk membolehkan persiapan ibu bapa,” jelasnya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI