LONDON – Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick mempertahankan keputusannya mengeluarkan Cristiano Ronaldo ketika menewaskan Brentford 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Komuniti Brentford awal pagi semalam.
Tiga gol United diperoleh menerusi Anthony Elanga, Mason Greenwood dan Marcus Rashford, namun kemenangan itu turut terpalit dengan tindakan Ronaldo yang menunjukkan reaksi tidak berpuas hati terhadap keputusan Rangnick.
Rangnick menjelaskan tindakannya itu demi kebaikan pasukan untuk meraih kemenangan pertama EPL tahun ini, namun beliau tetap percaya reaksi Ronaldo adalah perkara biasa bagi seseorang penyerang.
“Ia normal bagi seorang penyerang untuk cuba menjaringkan gol. Dia baru kembali daripada kecederaan dan perkara lebih penting adalah memikirkan mengenai perlawanan selepas ini.
“Kami mahu mempertahankan kelebihan, jadi saya pilih untuk kembali dengan lima pertahanan. Walaupun kami melepaskan gol tetapi apa lebih penting kami tidak membenarkan gawang terus dibolosi.
“Saya faham keinginannya tetapi jika Ronaldo seorang pengurus, dia juga akan melakukan perkara sama selepas aksi memasuki minit ke-75,” katanya.
Di sebalik pelbagai andaian, pengurus dari Jerman itu turut menegaskan beliau tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan Ronaldo tetapi keutamaan perlu diberikan kepada pasukan terlebih dahulu berbanding individu.
“Kebiasaan reaksi yang saya dapat adalah ‘kenapa saya dikeluarkan?’ Namun, saya sendiri tidak sangka dia akan peluk saya ketika dikeluarkan tetapi saya tahu apa yang difikirkan oleh seorang penyerang.
“Saya tidak ada sebarang isu dengan Ronaldo. Saya juga perlu buat keputusan demi kebaikan pasukan dan tidak mahu kesilapan sama berlaku lagi seperti ketika menentang Aston Villa,” jelasnya. – AGENSI