SUSUK wanita berusia 55 tahun itu sama sekali tidak pernah bermain dalam perlawanan Piala Dunia Wanita yang berlangsung di Perancis pada 2019.
Bagaimanapun, kelibat Nualphan Lamsam cukup mencuri tumpuan di seluruh dunia selepas fotonya menangis memeluk jurulatih, Nuengrutai Srathongvian di tepi padang viral dalam media sosial.
Momen tersebut hadir apabila pengurus bola sepak wanita Thailand itu terharu melihat anak buahnya berjaya menjaringkan gol pertama pasukan pada kejohanan berkenaan.
Gol dijaringkan oleh Kanjana Sungngoen pada minit 90 itu sangat berharga buah Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang meskipun Thailand tewas 5-1 kepada Sweden.
Selepas perlawanan, Madam Pang mengukir senyum lebar sambil para pemain menunjukkan tanda bagus di depan kamera seperti telah memenangi kejohanan tersebut.
“Menang atau kalah tidak sepenting mengembalikan hati dan semangat pada setiap persembahan,” tulis Madam Pang dalam akaun Instagramnya selepas kejohanan itu.
Madam Pang juga patut berbangga kerana dia memainkan peranan sebagai pemberi motivasi dan sokongan kewangan kepada pasukan sehingga berjaya ke Piala Dunia.
Hasil kejayaan itu, dia dilantik oleh Persekutuan Bola Sepak Thailand (FAT)sebagai pengurus pasukan bola sepak lelaki.
FAT berharap, pelantikan Madam Pang dapat mengulangi kejayaannya membawa pasukan wanita ke Piala Dunia sebanyak dua kali. Dia juga dipertanggungjawabkan mengurus pasukan Bawah-23.
“Dia bakal mengembalikan maruah pasukan kebangsaan Thailand,” ujar FAT dalam satu kenyataan selepas pelantikan Madam Pang pada Ogos tahun lalu.
Pelantikannya dilihat tepat, apabila berjaya membawa pasukan Thailand menjuarai kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 (Piala AFF) yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
Dia bukan sahaja berjaya memberi motivasi dengan menjanjikan habuan-habuan lumayan kepada pemain, malah dianggap seperti seorang ‘ibu’ buat pasukan.
“Penampilan Madam Pang membuatkan suasana pasukan cukup selesa dan tenang. Dia juga orang yang membawa masuk Mano Polking (jurulatih dari Jerman) untuk mengemudi Thailand.
“Dia (Polking) amat serasi dengan Thailand. Dia amat mengenali pemain kami, saya benar-benar berterima kasih dengan Madam Pang,” ujar pemain sayap, Supachok Sarachat.
Madam Pang mula mencuri tumpuan apabila menawarkan jam tangan Rolex, Iphone dan beg berjenama kepada para pemain Thailand sewaktu sesi cabutan bertuah ketika Piala AFF lalu.
Sementara itu, Polking memaklumkan, peranan Madam Pang sangat besar dan begitu dihormati dalam kalangan pemain dan kakitangan skuad kebangsaan Thailand.
“Dia mempunyai pengaruh yang besar dalam pasukan ini. Dia adalah seorang wanita dengan personaliti yang kuat.
“Seperkara yang penting, dia mempunyai hubungan yang baik dengan kelab-kelab bagi mendapatkan khidmat pemain kebangsaan.
“Dia berjaya menghubungi pasukan seperti Leicester, Consadole Sapporo dan sebagainya bagi mendapatkan pelepasan pemain,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai peranan sebagai pengurus pasukan bola sepak, Madam Pang memaklumkan, dia bertanggungjawab menyelesaikan setiap masalah dihadapi pemain, jurulatih dan staf.
Katanya, dia bukan sahaja perlu memastikan keadaan fizikal pemain berada di tahap terbaik, malah perlu menjaga hati dan fikiran semua orang dalam pasukan.
“Mereka (pemain) perlu sentiasa berseronok dan ketawa bersama sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kadang-kadang mereka perlu berehat dan merapatkan hubungan sesama mereka. Ini bola sepak, sebuah permainan berpasukan,” terangnya lagi.
Katanya, dia sangat berdebar setiap kali menyaksikan pasukan mengharungi Piala AFF Suzuki serta sukar melelapkan mata pada malam sebelum perlawanan.
Tegasnya, dia berasakan setiap perlawanan umpama garis tipis antara ‘syurga’ dan ‘neraka’, namun perasaan tersebut sangat menyeronokkan dan baik untuk dirinya.
“Pasukan menerima banyak tekanan baru-baru ini. Kemenangan di Piala AFF dapat menyatukan kembali rakyat Thailand ekoran Covid-19 dan perbezaan politik.
“Kami mahu ke Piala Dunia, tetapi ia menjadi sangat sukar kerana setiap pasukan mahu ke sana. Jadi, kami perlu mengkaji sistem permainan Jepun, Korea Selatan dan Iran,” ujarnya.
Selepas kejayaan di Piala AFF, nama Madam Pang bukan sahaja menjadi buah mulut peminat di Thailand, malah turut popular dalam kalangan pemerhati bola sepak di Asia Tenggara.
Untuk makluman, dia juga merupakan pengerusi dan pemilik kelab bola sepak Port FC yang menduduki tempat ketiga dalam Liga Thai 1 musim lalu.
Madam Pang tidak hanya bekerja dari bilik berhawa dingin, malah kerap dilihat hadir ke stadium bersama peminat untuk memberikan sokongan kepada kelab itu.
Menyorot kisah kehidupan Madam Pang, dia dilahirkan dalam salah sebuah keluarga terkaya di Thailand yang mengasaskan Bank Kasikorn dengan jumlah aset hampir AS$100 billion (RM418 billion).
Bapanya pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Parti Demokrat Thailand, manakala ibunya pemegang saham terbesar bagi syarikat Muang Thai Insurance (MTI).
Dia merupakan graduan jurusan pemasaran di institusi pendidikan tertua di Thailand, Universiti Chulalongkorn.
“Sewaktu di universiti, saya bukanlah pelajar pintar. Gred purata saya hanya 2.8 dan sering ponteng kelas. Ia bukan satu contoh yang baik.
“Tetapi, saya sangat berbesar hati apabila dipilih sebagai presiden di Fakulti Perakaunan. Saya tidak tahu mengapa mereka pilih saya, mungkin disebabkan personaliti saya yang kuat,” jelasnya.
Dia kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pemasaran di Universiti Boston, Amerika Syarikat.
Sekembali dari negara Uncle Sam itu, Madam Pang memulakan kerjaya dalam dunia korporat sebagai pengedar barangan berjenama Hermes dan Saint Honore.
Tidak mengejutkan sekiranya Madam Pang merupakan seorang pengumpul koleksi beg tangan dan pakaian jenama mewah dari Perancis itu.
Kemudian, dia diberi tanggungjawab mengambil alih syarikat insurans, MTI dengan memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif.
Wajah jelita wanita berkarisma itu digunakan secara meluas oleh syarikat berkenaan bagi mempromosikan pakej insurans di papan-papan iklan sekitar Thailand.
Madam Pang bukan sahaja kuat bekerja, malah dia juga merupakan seorang isteri dan ibu penyayang.
Perkahwinan Madam Pang dengan Narat Sawetanam memasuki usia lima tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata selepas berpisah dengan suami terdahulu, Watchara Panchet pada 2014.
Dia juga terkenal dengan sifat dermawan. Pada 2017, dia menerbitkan buku biografi mengenai dirinya.
Sebahagian keuntungan jualan naskhah itu disalurkan kepada Yayasan Orang Buta Thailand.
Pada masa sama, Madam Pang sanggup berhabis berjuta-juta Bath bagi membantu pemain bola sepak wanita yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
Dia membantu dari aspek yuran mendapatkan ijazah, memberi pekerjaan bagi membolehkan mereka membeli rumah, kenderaan dan membantu keluarga.