KLANG – Polis sedang mengesan sepasang kekasih bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang dipercayai dibunuh majikannya di sekitar daerah ini, 30 Disember lalu.
Kedua-dua individu itu adalah Chin Siau Lan atau dikenali sebagai Amy, 40, dan Ng Chin Way, 35, atau Kekau.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat daripada dua lelaki yang memaklumkan bahawa mangsa berusia 20-an dibunuh majikan pada 9 Januari lalu.
Katanya, polis kemudian menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 33 tahun di sekitar Lengkok Pandamaran Jaya 99, Pelabuhan Klang pada hari sama bagi membantu siasatan.
“Hasil soal siasat mendapati mangsa dipukul oleh majikannya bernama Amy dan teman lelakinya dikenali sebagai Kekau.
“Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Hoong Fong, kertas siasatan dirujuk kepada pegawai pendakwa dan arahan pertuduhan diberikan terhadap seorang suspek.
“Suspek berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
“Dua lagi suspek diikat dengan jaminan bon mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 49 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Amy dan Kekau boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33719999 atau balai polis berdekatan. -K!ONLINE