PETALING JAYA – Pelakon Mawar Rashid menganggap pengalaman dijangkiti wabak Covid-19 Julai tahun lalu sebagai sebuah mimpi ngeri.
Kata pemilik nama sebenar, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu, selera makannya berkurangan sehingga berat turun sebanyak 6 kilogram (kg).
“Memang pengalaman menakutkan kerana sepanjang tempoh tersebut saya berdepan impak yang teruk baik dari segi mental dan fizikal. Memang saya kini nampak kurus sebab tak berselera langsung.
“Badan juga sakit-sakit dan jadi lemah. Selepas habis tempoh kuarantin pun saya belum sihat sepenuhnya kerana cepat berasa penat. Kiranya sebulan juga masa untuk kembali cergas.
“Tapi sebenarnya sebelum diserang virus itu saya ada niat mahu menurunkan berat badan sikit. Cuma banyak kali cubaan diet tertangguh berikutan beberapa faktor sampingan.
“Tak sangka pula Covid-19 jadi punca berat badan hilang. Apa pun pengalaman dijangkiti Covid-19 membuatkan saya lebih peka dan beringat untuk jaga kesihatan. Itu lebih utama berbanding perkara lain,” katanya kepada Kosmo! Online.
Terdahulu pada Julai 2021, pelakon Pok Ya Cong Codei: Siti Di Hati itu bersama keluarganya termasuk suami, Raf Yaakob dan tiga anak mereka positif Covid-19, namun mereka hanya berkongsi cerita tersebut kepada umum selepas sembuh.
Akui Mawar lagi, naluri seorang ibu cukup kuat disebabkan ingin anak-anak juga kental melawan virus berkenaan sekali gus cepat sembuh.
“Bayangkan suami pun alami simptom teruk termasuk demam panas tetapi demi saya dan anak-anak, dia gagahkan diri menjaga kami selain memantau suhu badan semua.
“Jadi tentu saya pun enggan cepat mengalah. Alhamdulillah dengan sokongan keluarga dan teman yang tahu keadaan kami sekeluarga, akhirnya kami dapat mengharungi cabaran ini,” katanya lagi.
Mawar mendirikan rumah tangga dengan Raf yang juga adik kepada Datuk Fazley Yaakob pada 2017 dan dikurniakan dua cahaya mata, Raden Muhammad Rafael, 3, dan Raden Seri Rosabella Cinta, 1.
Mawar, 27, turut mempunyai dua anak tiri iaitu Raden Ahmad Rayyan, 11, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 7, iaitu cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu suaminya. – K! ONLINE