KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang terlibat dalam kes penipuan pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan peminat tegar alat permainan konsol popular itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Bagaimanapun tertuduh Bryan Tan Pei Er, 24, yang juga graduan jurusan farmasi itu mengaku tidak bersalah selepas tujuh pertuduhan dibacakan terhadapnya di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali tertuduh didakwa atas empat pertuduhan iaitu telah menipu empat individu dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa tertuduh akan memberikan PS5 Disc Version sedangkan tertuduh mengetahui bahawa PS5 itu tidak diberikan kepada mereka.
Perbuatan itu telah mendorong keempat-empat mangsa menyerahkan RM10,230 kepada tertuduh.
Selain menipu berhubung PS5, tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan menjual patung Bearbrick sehingga mangsa menyerahkan RM68,800.
Sementara itu, dihadapan Majistret Wong Chai Sia tertuduh didakwa atas dua lagi pertuduhan sama melibatkan dua individu membabitkan jumlah RM22,958.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan antaranya di Brickfields, Setapak, Sentul, Dang Wangi dan Cheras di sini antara 28 Ogos hingga 7 November 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 417 dan 420 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen 417 memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya manakala bagi seksyen 420 memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lyn dan G.Phulrani Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,500 bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu dan menetapkan 3 dan 4 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Kosmo! 15 Februari lalu, melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan lebih 200 peminat tegar alat permainan konsol popular itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan dan suspek seorang lelaki berusia 23 tahun telah berjaya ditangkap polis di Pulau Pinang.
Menerusi penahanan itu, pihak polis merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad bank suspek bagi siasatan lanjut kes tersebut.
Sebelum itu Kosmo! mendedahkan lebih 200 peminat tegar PS5 naik berang apabila tempahan alat permainan konsol itu dengan nilai keseluruhan hampir jutaan ringgit daripada seorang lelaki sejak beberapa bulan lalu masih gagal dipenuhi.
Malah, cubaan ‘kaki game’ terlibat untuk mendapatkan semula wang daripada si ‘wakil penjual’ juga gagal apabila lelaki itu tidak berbuat demikian, sebaliknya terus berjanji untuk segera menyelesaikan masalah berkenaan. -K!ONLINE