GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki ditemui di bawah jeti berdekatan Terminal Feri, Pengkalan Weld di sini selepas dilaporkan terjatuh ke laut hari ini.
Mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui orang awam dalam keadaan terapung kira-kira pukul 4.03 petang.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya dimaklumkan yang orang awam sebelum itu cuba bertindak menyelamat lelaki tersebut tetapi gagal.
“Mangsa dikatakan berada dalam keadaan meronta-ronta sebelum tenggelam dibawa arus.
“Tindakan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai membuat pemantauan secara ‘surface searching’ dari atas jeti.
“Bagaimanapun, pada pukul 4.03 petang tadi, pasukan kita menerima maklumat daripada orang awam terdapat mayat terapung di bawah jeti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau memberitahu, mangsa berjaya dinaikkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi tersebut tamat pada pukul 4.09 petang. K! ONLINE