REMBAU – Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), di sini yang menjadi kluster ketiga pendidikan yang dikesan di negeri ini ditutup bermula semalam sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, kluster Bukit Chengkau Ulu yang dikesan di STIAS membabitkan 72 pelajar yang dikesan melalui saringan kendiri berkala yang dilakukan di sekolah berkenaan.
Menurutnya, dari jumlah tersebut sebanyak 50 pelajar lelaki dan 22 pelajar perempuan disahkan positif Covid-19.
“Setakat ini satu kes dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, manakala baki pelajar lain menjalani kuarantin di sekolah.
“Arahan kuarantin telah dikeluarkan kepada semua pelajar dan guru, sekolah diarahkan tutup dibawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula semalam,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! ke lokasi STIAS mendapati, terdapat pita berwarna kuning KKM yang menunjukkan sekolah berkenaan kini sedang menjalani tempoh kuarantin.
Bahkan, ada juga ibu bapa yang memberikan sumbangan berupa air mineral dan lain-lain keperluan kepada warga sekolah sepanjang menjalani tempoh kuarantin berkenaan. -K! ONLINE.