SEREMBAN – Seorang bakal bapa diuji selepas barangan kelengkapan untuk menyambut bayi pertamanya yang bakal dilahirkan pada 25 Januari ini musnah dalam kejadian kebakaran pada Jumaat lalu.
Daing Putera Kamaludin, 25, berkata, dia bagaikan terduduk apabila melihat barangan tersebut yang disusun atas meja dan diletakkan di ruang tamu rumahnya di Taman Cempaka Fasa 2, di sini bertukar debu.
Menurut Daing, kebakaran itu turut memusnahkan dua buah motosikal miliknya dan ibunya selain album gambar perkahwinan dengan isteri, Nora Izati Atikah Yusuf, 25, yang dinikahi pada 10 Julai 2020.
“Semasa kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu, saya sedang tidur kerana bertugas syif malam. Saya tersedar selepas terdengar bunyi deringan telefon dan jeritan orang. Sebaik terjaga, asap tebal sudah memenuhi ruangan bilik.
“Saya cuba keluar melalui tingkap bilik, namun jeriji tidak dapat dibuka oleh penduduk. Jadi, saya terpaksa meredah keluar melalui pintu belakang. Mujur tiada kecederaan serius,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam kejadian itu, semua barangan termasuk perabot musnah dan kerugian dianggarkan sebanyak RM20,000.
Cerita Daing, sejurus selepas kejadian, dia memaklumkan perkara itu kepada isterinya, namun tidak menyangka tindakan tersebut memberi kesan kepada tekanan darah isteri serta degupan jantung bayi yang agak laju sehingga menyebabkan Nora Izati ditahan di wad Hospital Taiping selama empat hari.
“Buat masa ini, saya tinggal bersama ibu (bekerja sebagai tukang cuci di sekolah) dan ayah. Sebagai anak sulung daripada lima beradik, saya perlu menanggung dua lagi adik yang masih bersekolah,” katanya.
Tambah Daing, dia bernasib baik kerana tuan rumah amat memahami serta tidak menyalahinya atas insiden kebakaran yang berlaku.
Orang ramai yang berhasrat untuk memberi sumbangan kepada Daing diminta menyalurkan ke akaun Maybank bernombor 155015465176 atas nama Daing.