SEBERANG PERAI – UMNO Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri untuk bertanggungjawab sepenuhnya susulan kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini yang berlarutan sejak lebih seminggu lalu.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, selain kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan pihak pengurusan tapak pelupusan sepatutnya tampil memberikan penerangan terperinci berhubung situasi semasa.
Katanya, kegagalan kerajaan negeri menyeleraskan maklumat menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang terjejas.
“Kerajaan negeri sepatutnya maklumkan kepada penduduk tentang perkembangan terkini dan bukannya setakat mengeluarkan arahan berpindah semata-mata.
“Sudah lebih seminggu kejadian ini berlarutan dan segelintir penduduk terpaksa menutup kedai selain ada juga yang terpaksa mengambil cuti kerana ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Justeru, pihak terlibat wajar memberikan pampasan kepada penduduk yang terbeban dengan ketidakselarasan pihak berwajib dalam menangani isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama penduduk di Kampung Kebun Baru, Nibong Tebal di sini hari ini. -K! ONLINE