PETALING JAYA – Isu beg sekolah berat bukanlah sesuatu perkara baharu namun perkara itu dilihat tetap berulang seakan tidak akan selesai.
Menerusi perkongsian di Facebook Cikgu Fadhli, lelaki itu mendedahkan sebuah klip video memaparkan seorang murid terpaksa memikul beg dengan kedua tangan sewaktu menaiki tangga.
Lebih menyedihkan, murid itu dilihat hampir tersungkur gara-gara tidak mampu untuk mengangkat beg berkenaan.
Jelasnya, klip tersebut dihantar oleh seorang ibu yang merakamkan anaknya sendiri, namun lokasi dan usia murid itu tidak dapat dikenal pasti.
“Cikgu tolong sampaikan kepada orang atasan hal ini. Share (kongsi) sampai pada Yang di-Pertuan Agong pun tak apa. Biar ada tindakan. Kesian anak saya, dah la perempuan, badan kecil lagi”.
“Ini bukan isu kecil kerana melibatkan kesihatan anak-anak kita. Bahkan, dah ada beberapa bukti dari kawan-kawan tentang masalah belakang anak mereka dipercayai akibat pikul beg berat,” luah ibu kepada Cikgu Fadhli.
Dalam hantaran yang sama, Fadhli turut berkongsi tangkap layar kenyataan seorang bapa dikenali sebagai Dr. Zaqrul berkenaan anaknya yang mengalami kecederaan tulang belakang akibat membawa beg berat.
“Ini x-ray anak sulung saya, dia terpaksa jalani pembedahan Januari ini dan beg berat adalah salah satu punca tulang belakang bengkok, sampai bila anak kita harus di dera?” kata Zaqrul dalam satu hantaran di Facebook.
Rata-rata perkongsian tersebut telah mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang mengakui isu ini adalah sesuatu yang tidak pernah selesai.
“Kenapa tak nak bagi loker di setiap kelas supaya murid tak perlu usung balik buku teks,” kata Lidya.
“Benda ni dari dulu tak selesai dan bukan kita nak manjakan anak-anak tapi biarlah bersesuaian dengan perkembangan semasa,” ujar Ejal Jalal. -K!ONLINE