AKHIRNYA, segala teka-teki sudah pun terjawab.Itu antara ungkapan yang berlegar-legar dalam benak penulis selepas Neelofa membuka mulut mengakui sedang menghitung hari kelahiran cahaya mata pertamanya.
Tiada lagi ayat berbasa-basi atau berdolak-dalih. Pengakuan tersebut sekali gus meleraikan tanda tanya yang menjadi permainan atau entah ‘strategi’ dalam media sosial sejak lapan bulan lalu.
Segalanya seperti telah dirancang dengan teliti dan Selasa lalu, semua orang berasa lega.
Penulis percaya, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Haris turut berasa tenang saat bersemuka dengan media buat pertama kalinya membuka kisah benih cinta mereka.
Tiada lagi yang perlu diselindungkan atau dijaga demi menutup apa yang tersurat.
Gementar dalam teruja
Selebriti berniqab itu mengakui, sedang menghitung hari. Dia dijangka melahirkan bayi anak sulung hasil perkahwinan dengan pendakwah bebas, Haris Ismail itu bila-bila masa sahaja.
“Saya menghitung hari untuk melahirkan bayi ini. Ya, itulah tajuk yang sepatutnya,” katanya teruja ketika mula ditanya tentang kehamilan yang dirahsiakan sejak lapan bulan lalu.
Seperti bakal ibu yang lain, bekas pengacara Next To Neelofa itu tidak terlepas daripada terdetik rasa gementar untuk melalui fasa kelahiran, seterusnya mempunyai seorang anak.
“Sebenarnya bila-bila masa sahaja saya boleh bersalin. Insya-Allah saya dan suami akan berkongsi serta umumkan berita gembira tersebut nanti kepada semua,” ujarnya kepada HibGlam, Selasa lalu.
Buat masa ini, bakal ibu berusia 33 tahun itu juga belum dapat memastikan sama ada akan bersalin secara normal atau pembedahan.
Semuanya bergantung kepada tahap kesihatan diri dan bayi dalam kandungan.
“Bayi kami akan dilahirkan di Kuala Lumpur sahaja.
“Rasa kebimbangan memang ada dan tiada siapa pun tahu saya akan bersalin secara normal atau tidak. Gementar juga nak melalui proses kelahiran nanti.
“Harap semuanya dalam keadaan baik dan saya dapat bersalin secara normal,” tutur wanita yang pernah bergelar duta jenama Lancome Asia Tenggara itu mesra.
Berkongsi pengalaman kehamilan yang selama ini disimpan rapi, pelakon Lemak Kampung Santan itu mengakui turut mengakui, fasa kehamilan dan penantian untuk melahirkan anak telah memberi sebuah pengalaman berbeza dalam lipatan sejarah hidupnya.
“Tipulah jika saya kata sepanjang fasa kehamilan ini terlalu senang. Ini merupakan pengalaman pertama kami.
“Rupa-rupanya bukan mudah nak jadi seorang ibu, perlu melalui fasa hamil, melahirkan. Memang sebuah pengalaman yang hebat untuk saya dan suami,” ujarnya lagi.
Haris jangan lari
Momen paling mencuri perhatian ialah ketika Neelofa bertegas, Haris harus menemani dan berada di sisinya sepanjang dalam wad bersalin kelak.
“Haris mesti teman saya ketika bersalin nanti. Harap awak tak larilah, ya,” katanya sambil melirik dan mencuit Haris di sebelahnya.
Tambah Neelofa lagi: “Jadual saya, suami yang tentukan semua. Saya akan berpantang elok-elok, dapatkan rentak dahulu kemudian barulah boleh beri keutamaan kepada perkara lain.
Neelofa turut berterima kasih dan memohon doa daripada semua agar segala urusannya nanti dipermudahkan Tuhan.
“Terima kasih kepada yang telah menyokong dan percaya dengan setiap perkara saya lakukan sejak 12 tahun lalu.
“Terus titipkan doa-doa kalian dan mohon dipermudahkan untuk semuanya,” tuturnya lagi.
Selaku suami dan bakal bapa, Haris turut tidak ketinggalan mempersiapkan diri dengan ilmu keibubapaan.
Lelaki yang dikenali sebagai PU Riz itu berkata, cara-cara menjaga anak dan mempersiapkan mental antara persiapan yang dilakukannya. Sebagai ibu bapa, mereka pasti mahukan yang terbaik untuk si kecil yang bakal lahir nanti.
Bercakap tentang anak hasil perkongsian dua sosok figura awam, bahkan dianggap selebriti popular tanah air, Haris memberitahu akan membesarkan anaknya secara sederhana dan mengikut syariat Islam.
Akuinya, bayi yang bakal dilahirkan kelak pastinya tidak dapat lari daripada terkena tempias populariti si ibu dan ayah.
“Masyhur ini kadang-kadang ada kebaikan dan keburukan. Kami nak hidup dalam cara yang diberkati dan tak terlalu terkenal.
“Dalam Islam, dipanggil sebagai wasatiyyah iaitu pertengahan, seimbang atau bersederhana.
“Saya harap anak ini nanti dibesarkan dengan cara Islam. Nak cakap tidak akan terkenal sangat pun tak boleh sebab ibu bapanya dikenali. Jadi, sederhana sajalah,” katanya lagi.
Bisnes juga terkesan
Sedikit mengenai bisnesnya yang semakin berkembang maju, bekas Dewi Remaja 2009/2010 itu memberitahu perniagaan minuman, Nilopa yang dijalankan turut terjejas akibat pandemik Covid-19.
Malah perancangan melancarkan produk baharu iaitu susu perisa coklat juga sudah setahun tertangguh.neelofga
“Perisa terakhir sebelum ini ialah mangga dan kini barulah coklat selepas setahun tiada produk baharu.
“Bisnes sangat mencabar ketika musim pandemik terutama yang melibatkan penghantaran produk secara terus (COD) ditambah pula dengan banjir.
“Ramai yang terkesan. Semoga semuanya akan kembali pulih seperti sebelum ini,” katanya lagi.
Menerusi perniagaan, Neelofa bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dan membantu ramai individu terkesan, terutama golongan suri rumah menjana pendapatan sampingan sekali gus membina kehidupan yang lebih baik.