PETALING JAYA – Berbunyi klise, tetapi perbuatan buli seperti barah yang boleh merosakkan masyarakat dan jika melampau mampu membunuh.
Penyanyi berbakat besar, Vanessa Reynauld antara yang tidak terlepas menjadi menjadi mangsa buli disebabkan fizikalnya yang jauh berbeza daripada orang lain sejak kecil.
Vanessa atau nama lengkapnya, Vanessa Ben Reynauld mengakui pernah berdepan trauma sehingga tidak mahu ke sekolah akibat selalu dibuli.
“Orang selalu nampak saya senyum dan yakin di atas pentas. Sebenarnya, saya ada sisi kehidupan yang orang tak tahu.
“Sejak kecil lagi saya selalu kena ejek sampai pernah rasa takut dan trauma hendak pergi sekolah.
“Ada yang samakan saya dengan suku kaum dan etnik tertentu kerana rambut afro semula jadi yang cantik ini,” katanya menerusi satu hantaran status Instagram.
Vanessa juga sudah lali dengan kecaman disebabkan penampilannya yang berbeza berbanding orang lain. Abangnya iaitu Christopher yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) sindrom down merupakan penguat jiwanya.
“Saya masih lagi terima kecaman disebabkan penampilan tapi tidaklah seteruk sebelum ini sebab saya dah pandai menanganinya.
“Sejak program Ceria Popstar, sehingga ke pentas separuh akhir Anugerah Juara Lagu (walaupun tak sampai final) merupakan satu perjalanan yang panjang dan penuh liku.
“Walaupun saya pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa tapi memang susah nak dapat penghargaan umum. Tak mengapa sebab saya tak pernah mengalah sebab ini impian saya. Saya takkan biarkan komen negatif melemahkan saya.
“Saya kuat kerana keluarga. Saya janji dengan abang, Christopher untuk beri kehidupan yang baik. Dia orang istimewa dan menghidap sindrom down. Dia sepenuhnya bergantung kepada saya sebab saya yang jaga dia setiap hari. Beri dia makan dan mandikannya,” luahnya.
Dalam pada itu, selepas Yuna, Layla Sania, Dolla dan Iman Troye, kini wajah penyanyi Vanessa pula terpampang di papan iklan digital tersohor, Times Square, New York, Amerika Syarikat.
Vanessa menjadi artis kelima dari Malaysia yang fotonya dipaparkan di papan iklan digital gergasi itu yang merupakan sebahagian daripada kempen Equal oleh wadah penstriman digital, Spotify.
“Rasa macam di awang-awangan sekarang dan sangat gembira wajah saya terpampang di New York Times Square sempena kempen Equal Spotify. Rasa macam nak pengsan,” katanya. – K! ONLINE