MELBOURNE – Pemain kurang ternama dari Perancis, Alize Cornet mencipta sensasi tersendiri apabila menyingkirkan pilihan ketiga, Garbine Muguruza selepas meraih kemenangan pada pusingan ketiga Terbuka Australia semalam.
Pada perlawanan tersebut, Cornet yang berusia 32 tahun tidak mempunyai masalah merekodkan keputusan straight set 6-3, 6-3, sekali gus mengecewakan Muguruza yang juga finalis kejohanan bertaraf Grand Slam itu musim lalu.
Cornet yang menduduki ranking ke-59 dunia mengakui sangat teruja apabila dapat melangkah ke pusingan ketiga kejohanan bertaraf Grand Slam pada Terbuka Australia buat kali pertama sejak edisi 2018 dan berharap kemenangan itu dapat menaikkan semangatnya dalam usaha mara lebih jauh.
“Ini adalah perasaan yang sukar untuk digambarkan kerana bukan mudah untuk merekodkan kemenangan straight set ke atas pemain berkualiti yang menduduki ranking lebih tinggi seperti Muguruza.
“Namun, saya berjaya kekal fokus di atas gelanggang dengan bermain tanpa sebarang tekanan kerana sedar setiap kesilapan yang dilakukan boleh membuka ruang buat Muguruza bangkit daripada kekalahan.
“Apa yang pasti, saya anggap ini adalah hadiah hari jadi yang terbaik buat saya kerana ulang tahun kelahiran saya jatuh pada 22 Januari (esok). Harap pengalaman yang saya miliki dapat membantu untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain remaja, Clara Tauson turut mencipta kejutan tersendiri dengan menyingkirkan pemain pilihan keenam, Anett Kontaveit dengan keputusan straight set 6-2, 6-4 untuk meraih tiket ke pusingan ketiga kejohanan Grand Slam buat kali pertama. – AGENSI