PETALING JAYA – Khabar gembira kehamilan selebriti jelita, Mira Filzah bukan sahaja menjawab pertanyaan banyak peminat, bahkan mengundang himpunan doa yang baik-baik dalam kalangan selebriti tanah air.
Pelakon, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura binti Sharifuddin meninggalkan komen mendoakan kesejahteraan bakal ibu itu menerusi komen yang ditinggalkannya dalam Instagram.
“Masya-Allah, Tabarakallah. Syukur alhamdulillah. Tahniah Mira dan Emir. Semoga Allah permudahkan segalanya buat kalian bertiga, insya-Allah,” ujar pelakon filem Gol & Gincu itu.
Dalam pada itu, kehamilan Mira yang kini memasuki usia enam bulan turut meraih perhatian bekas Johan Qariah Antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut yang mendoakan segala kebaikan buat pelakon itu.
“Masya-Allah, alhamdulillah. Tahniah ya, semoga Allah permudahkan segalanya. Moga hubungan Wan Emir dan Kak Mira sentiasa dirahmati Allah,” katanya.
Antara selebriti popular lain yang menitipkan ucapan tahniah dan doa buat pasangan itu ialah Datin Lisa Surihani, Nabil Mahir, Alif Satar, Elfira Loy dan Sophia Liana.
Malam tadi, seraya berkongsi sepotong ayat yang dipetik dari surah Al-Ibrahim, Mira atau nama lengkapnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman bersama suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar mengumumkan mereka bakal bergelar ibu bapa tidak lama lagi.
Berbulan-bulan mengunci mulut, Mira, 29, akhirnya mengesahkan dirinya kini hamil enam bulan.
Kata Emir, usia kandungan isteri tersayang bakal memasuki trimester ketiga tidak lama lagi.
“Syukur alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT pemilik seluruh alam, perkhabaran diterima pada tahun lepas yang kami akan menimang cahaya mata sulung kami.
“Insya-Allah, usia kandungan akan memasuki trimester ketiga (kini enam bulan) tidak lama lagi,” tulis anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid itu.
Mira dan suami dalam satu hantaran status yang dimuat naik dalam Instagram merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti mendoakan keluarga kecilnya sehingga hari ini.
“Seperti semua orang yang memiliki hasrat dan rancangan untuk membina keluarga, kami juga mempunyai pengalaman peribadi tentang suka duka sepanjang perjalanan kami setakat ini.
“Kepada semua yang berharap dan mendoakan kami dari dulu hingga kini, dengan rasa insaf serta rendah diri kami mengucapkan jutaan terima kasih.
“Semoga Allah merahmati dan mengangkat segala usaha dan doa setiap seorang daripada kita,” katanya lagi.
Sejak November tahun lalu, khabar angin Mira sedang berbadan dua hangat diperkatakan netizen selepas mendakwa ternampak baby bump dalam video Instagramnya.
Mira bagaimanapun menafikan hal tersebut dengan alasan perutnya buncit selepas makan. Bahkan, dia pernah memaklumkan tidak akan pernah berahsia sekiranya disahkan hamil.
Untuk rekod, pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu mendirikan rumah tangga dengan Emir, 32, pada 3 September 2020. – K! ONLINE