WASHINGTON – White House dilaporkan akan mengedarkan sebanyak 400 juta keping pelitup muka jenis N95 kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) secara percuma di farmasi dan pusat kesihatan yang terlibat mulai minggu hadapan, lapor laman berita Metro UK semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang pegawai dari White House semalam.
Keputusan tersebut dibuat selepas jangkitan Covid-19 dan jumlah kemasukan ke hospital mencecah rekod tertinggi di seluruh negara dengan kebanyakan kes disebabkan oleh varian Omicron.
Bekalan pelitup muka itu akan diambil daripada stok Strategic National Stockpile (SNS) yang pada masa ini mempunyai lebih daripada 750 juta pelitup muka berkualiti tinggi.
Program itu dijangka akan berlangsung sepenuhnya pada awal Februari ini dengan setiap seorang dihadkan kepada tiga keping pelitup muka.
Program tersebut akan menjadi insentif pemberian peralatan perlindungan peribadi terbesar dalam sejarah AS, jelas pegawai White House berkenaan kepada stesen penyiaran CNN.
Dalam pada itu, kerajaan persekutuan AS pada minggu ini turut melancarkan satu laman web baharu untuk membolehkan penduduk mendaftar bagi menjalani kit ujian pantas Covid-19 secara percuma. – Agensi