RIYADH – Seorang wanita di Arab Saudi mengundang perhatian orang ramai kerana melahirkan bayi kembar lima dalam kelahiran secara semula jadi pada 12 Januari lalu, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.
Proses kelahiran itu dibantu oleh pasukan perubatan di Hospital Angkatan Tentera Raja Salman.
Wanita itu berjaya melahirkan lima orang bayi yang sihat dengan berat antara 950 hingga 1,100 gram setiap seorang.
Ketika usia kehamilan mencecah 28 minggu, wanita berusia 34 tahun itu bersama Kementerian Pertahanan Arab Saudi dilihat berkongsi mengenai kehamilannya menerusi ciapan pada sebuah akaun rasmi Twitter.
Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Mejar Jeneral Attia Al-Zahrani turut menerima ucapan penghargaan daripada orang ramai atas kejayaan yang dicapai oleh pasukannya dalam membantu kelahiran luar biasa tersebut.
Hospital Angkatan Tentera Raja Salman adalah antara hospital terbesar di Arab Saudi dan dibina pada Ogos 1980.
Hospital itu menawarkan pelbagai perubatan khusus dan merupakan hospital kerajaan pertama yang menawarkan teknologi endoskopik di Arab Saudi pada tahun 1991. – Agensi