ISKANDAR PUTERI – Inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat yang menghubungkan Malaysia dan Singapura melalui Johor Bahru bakal disambung semula selepas ditangguhkan sementara akibat penemuan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pihaknya akan beri kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan itu berlangsung semula seperti dirancang.
“VTL darat akan disambung semula selepas ditangguhkan selama kira-kira satu bulan, tetapi kini sudah disambung semula dan kerajaan negeri akan terus memantau situasi semasa melibatkan wabak Covid-19.
“Saya juga berhasrat untuk meminta kerajaan pusat meningkatkan jumlah pengembara yang boleh merentas antara kedua-dua negara melalui inisiatif berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini hari ini. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Disember lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu kerajaan memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura hingga 20 Januari 2022.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron.-K! ONLINE