fbpx

Tiga cabaran dikenal pasti urus bencana banjir- Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Banjir di Shah Alam baru-baru ini. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama perlu diberi perhatian segera dalam pengurusan bencana banjir negara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara cabaran terbabit yang perlu diperbaiki dan ditambah baik segera melibatkan pemahaman terhadap arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

“Saya berpandangan bahawa masih terdapat kelemahan daripada segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah.

“Ia turut melibatkan badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) berkaitan tanggungjawab mereka di bawah Arahan MKN No. 20 di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana,” katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat di sini tadi.

Katanya, aspek kelemahan perintah dan kawalan juga merupakan cabaran yang perlu diberi perhatian segera berikutan ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di negeri serta daerah.

“Ketiadaan Nadma di negeri dan daerah menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

“Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan kerajaan tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum,” jelansya.

Katanya, struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan Nadma untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, NGO dan kerajaan tempatan.

“Kekangan itu menyebabkan Nadma tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.

“Selain itu, penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsa banjir perlu diperbaiki memandangkan masih menggunakan kaedah pengumpulan maklumat konvensional,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI