TANDAS merupakan ruang dalam rumah yang paling kerap digunakan dan perlu sentiasa dibersihkan.
Ramai yang mengambil ringan kebersihan tandas dan tidak membersihkannya selepas digunakan, malah tandas yang kotor sebenarnya mencerminkan tahap kebersihan diri seseorang.
Selain menimbulkan rasa geli, tandas juga merupakan kawasan yang sentiasa lembap, menjadikan ia amat mudah membiakkan bakteria yang boleh membawa pelbagai penyakit.
Sehubungan itu, pada kali ini Horizon ingin berkongsi beberapa tip penting dalam memastikan tandas kediaman anda sentiasa kekal bersih dan kemas.
1. Sinki
Sinki merupakan kawasan yang paling mudah menangkap kotoran, khususnya daripada sisa ubat gigi yang digunakan selepas memberus gigi.
Selepas digunakan, perhatikan sekiranya sisa ubat gigi atau sabun melekat pada permukaan sinki, cuci keseluruhan permukaan itu dengan menggunakan sabun dan air.
Pastikan anda menyediakan satu berus kecil berhampiran sinki bagi memudahkan ia diberus selepas setiap penggunaan.
2.Sangkut berus
Setiap tandas wajib menyimpan sekurang-kurangnya satu berus tandas yang boleh digunakan untuk memberus lantai dan permukaan lain.
Bagi memastikan tandas sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terjaga, pastikan berus disangkut atau disimpan di satu sudut bagi mengelakkan ruang tersebut kelihatan bersepah.
Sebaiknya, beli berus yang lengkap dengan bekas yang sesuai supaya tandas sentiasa nampak kemas.
3. Lap cermin
Cermin juga merupakan satu alatan dalam tandas yang sering diabaikan.
Cermin yang tidak dibersihkan akan mudah kelihatan bercapuk akibat tompokan air dan sisa kotoran.
Selepas digunakan, lap cermin menggunakan cecair dan kain khusus bagi memastikan ia sentiasa bersih dan kekal berkilau.
4. Buang barang tidak digunakan
Barangan seperti berus gigi yang tidak lagi digunakan, selain botol barangan mandian seperti sabun mandi serta syampu yang sudah kosong sering dibiarkan di dalam tandas.
Ini menjadikan tandas kelihatan tidak kemas dan bersepah.
Sebaiknya, perikasa dan kumpul semua botol-botol kosong yang tidak lagi digunakan lalu dibuang ke dalam tong sampah. Hasilnya, susun atur tandas akan kelihatan lebih kemas dan bersih.
5. Fabrik
Elakkan menyimpan barangan berbentuk fabrik seperti kain lap di dalam tandas.
Hal ini kerana, fabrik mudah menyerap air dan apabila dibiarkan dalam kawasan yang basah dan lembap, ia akan menjadikan tandas kelihatan kotor dan meninggalkan bau yang kurang menyenangkan.
Sekiranya perlu menyimpan kain, pastikan ia berada dalam keadaan bersih dan kering serta segera dibawa keluar selepas digunakan.