fbpx

Setahun baiki rumah pelanggan guna barang paip curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien (tengah) menunjukkan gambar suspek dan peralatan paip yang dicuri selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Taktik licik seorang tukang paip yang menggunakan barangan perpaipan curi untuk membaik pulih rumah pelanggan sejak setahun lalu terbongkar apabila dia dicekup polis semalam.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan semasa polis menjalankan serbuan di rumahnya di Jalan Post Office Lama di sini kira-kira pukul 4.30 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis menemui meter air dan pelbagai peralatan paip.

“Kita melakukan serbuan selepas menerima laporan daripada pengguna dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB). Siasatan mendapati, suspek mengaku telah melakukan kegiatan mencuri meter dan peralatan paip sejak setahun lalu.

“Kesemua peralatan yang dicuri itu digunakan dalam pekerjaan hariannya untuk membaik pulih paip selain dijual di kedai barangan lusuh,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas satu meter air, pelbagai peralatan paip dan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Menurut Shafien, semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dengan kes dadah.

Katanya, selain itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI